KUALA LUMPUR – Tindakan Timbalan Pendakwa Raya menarik balik surat permohonan hakim supaya mengutamakan kes Dauk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi telah mengesahkan kesahihan surat asal dan menimbulkan lebih banyak tanda tanya, kata Ketua Penerangan UMNO Malaysia.
Persoalannya, kata Shahril Sufian Hamdan, kenapa surat asal itu dikeluarkan bagi pihak Peguam Negara untuk mempercepat kes Presiden UMNO.
Jika sebelum ini pemimpin UMNO dituduh menggunakan taktik melengahkan kes mereka, adakah ini pula taktik pihak pendakwa untuk mempercepat kes, soal beliau.
Shahril berkata, UMNO boleh terima hujah mahkamah ada hak untuk menetapkan jadual prosiding dan sebagainya kerana mahkamah adalah badan bebas.
Tapi mengapa pendakwa pula yang boleh mempengaruhi jadual, soal Shahril lagi.
”Rungutan ini sama sekali tidak bermakna UMNO mahu mencampuri urusan mahkamah atau minta sesiapa dibebaskan. Tetapi ini soal asas kenapa Pejabat Peguam Negara yang juga pendakwa raya boleh minta sesuatu kes dipercepat sewenang-wenangnya?,” tanya beliau lagi.
Situasi ini, jelas Shahril memperkukuh perjuangan UMNO dan Barisan Nasional sepanjang penggal ini, iaitu perlu ada pengasingan peranan antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya.
Perkara ini sudah disuarakan oleh UMNO semenjak beberapa tahun dahulu dan juga diminta oleh Majlis Peguam serta Manifesto Pakatan Harapan sebelum PRU14 namun tidak dilaksanakan.
Kuasa Peguam Negara mengikut Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa kepada Peguam Negara yang boleh dijalankan menurut budi bicaranya untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding bagi sesuatu kesalahan.
Oleh kerana itu, tegas beliau, tuntutan agar pemisahan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya adalah wajar dan harus dilakukan.
Lantaran itu, harusnya semua pihak tidak mempersoalkan motif UMNO meminta perkara sama, ujarnya. – MalaysiaGazette