KUANTAN – Tiga sahabat yang didakwa atas kesalahan membunuh seorang remaja perempuan Orang Asli pada 20 Ogos lalu, mengaku tidak bersalah atas tuduhan merogol mangsa secara berkumpulan.

Pengakuan itu dibuat Rosli Bakar, 29; Helmat, 22 dan Murad Ahmad, 26, di hadapan Hakim Shahrul Rizal Majid di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini.

Ketiga-tiga mereka dituduh melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 375 (B) Kanun Keseksaan pada 20 Ogos lalu antara jam 11.15 malam sehingga 7 pagi di hutan berhampiran simpang kawasan perkuburan lama Bukit Ibam, Muadzam Shah.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Nurul Syuhada Tuan Mamat, manakala ketiga-tiga tertuduh diwakili Peguam Mohamad Saifuldin Ab Rahman.

Mereka yang tidak ditawarkan sebarang jaminan sementara menunggu perbicaraan turut didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Pekan semalam yang melibatkan mangsa sama.

Hakim menetapkan 29 September depan untuk sebutan semula kes bagi ketiga-tiga tertuduh selain lantikan peguam untuk pengurusan kes.

Semalam, tiga sekawan lelaki Orang Asli dari suku Jakun itu didakwa di Mahkamah Majistret Pekan kerana membunuh seorang remaja perempuan dari suku sama berusia 14 tahun.

Pertuduhan itu dibacakan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan terbabit, Majistret Wahidah Zainal Abidin menetapkan 3 November depan untuk sebutan semula kes beserta laporan kimia. – MalaysiaGazette