Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO malam ini dianggap penting kerana mencari kata putus dalam isu berkaitan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kejayaan UMNO membawa kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 antara kejayaan terbesar parti ini yang tidak akan sesekali dilupai.

UMNO melakukannya semata-mata kerana sayangkan negara demi memastikan masa depannya bangkit dengan keazaman serta jati diri yang luhur dan tulus, kata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Presiden UMNO itu berkata, sejak kemerdekaan negara, UMNO telah membawa kemakmuran, kestabilan dan kesejahteraan ke seluruh pelosok tanah air dengan semangat kebersamaan dan kesetiaan para pimpinannya yang bergerak sebagai sebuah pasukan walau halangan mendatang.

Beliau berkata demikian sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan negara esok.

Katanya, meskipun berdepan pelbagai cabaran, UMNO sukses menguruskan negara yang terdiri pelbagai kaum, budaya, agama dengan cemerlang, gemilang, terbilang.

Menurut Ahmad Zahid, UMNO berdepan dengan kelompok yang tidak pernah jemu cuba mengubah nilai kemerdekaan kita agar selari dengan agenda songsang dan cauvinis mereka.

Namun UMNO yakin muslihat mereka tidak akan berjaya selagi parti ini terus kuat berpegang kepada prinsip perjuangannya dan menjadi benteng kemerdekaan, ujar beliau sambil berharap sambutan hari kemerdekaan ke-65 pada tahun ini akan menzahirkan patriotisme yang cukup tinggi dan jitu buat seluruh rakyat. – MalaysiaGazette