Atlet pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi mengetuai bacaan ikrar Rukun Negara pada Sambutan Hari Kebangsaan 2022 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 31 OGOS 2022.

KUALA LUMPUR – Kelihatan kacak menggayakan songket dan bertanjak, atlet pecut muda negara Muhammad Azeem Mohd Fahmi hari ini diberi kepercayaan memimpin bacaan ikrar Rukun Negara untuk ribuan Keluarga Malaysia yang hadir ke acara sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Merdeka.

Suara Azeem, yang ditemani oleh 65 pelajar daripada Institut Pendidikan Guru Kampus Ilmu Khas, Kuala Lumpur turut bergema melaungkan ‘Merdeka’ sebanyak tujuh kali di lokasi bersejarah itu.

Berkongsi peranannya memimpin bacaan ikrar kali ini dan penglibatannya secara langsung dalam sambutan hari bersejarah negara itu, Azeem berkata, sambutan luar biasa Hari Kebangsaan tahun ini adalah satu indikasi positif terhadap keteguhan bersama Keluarga Malaysia.

“Sambutan hari ini begitu positif dengan ramainya orang sanggup bangun awal untuk datang melihat sambutan hari ini, jadi saya rasa rakyat Malaysia patut teruskan semangat macam ini supaya kita sama-sama jadi rakyat yang dapat menyumbang kepada negara,” katanya kepada Bernama.

Atlet kelahiran Perak itu telah mencatat pencapaian luar biasa apabila berjaya memecah rekod kebangsaan acara 100 meter (m) dengan catatan 10.09 saat  di Kejohanan Olahraga Remaja Dunia di Cali, Colombia mengatasi rekod milik Khairul Hafiz Jantan (10.18 saat). – BERNAMA