KUALA LUMPUR – Enggan melepaskan peluang untuk menyertai sambutan kemerdekaan selepas dua tahun negara dilanda pandemik Covid-19, rakyat Malaysia begitu teruja sehingga sanggup bangun seawal pagi untuk bersama-sama menyertai sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Merdeka hari ini.
Tinjauan MalaysiaGazette di sekitar Dataran Merdeka dan lokasi berdekatan seperti Sogo dan Pertama Kompleks, sekitar jam 6.30 pagi tadi mendapati rata-rata tempat-tempat itu sudah di penuhi dengan rorang ramai termasuk pelancong asing.
Pada masa sama, pihak berkuasa juga telah meletakan penghadang serta menutup beberapa jalan ke dataran bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas yang teruk serta menjaga keselamatan.
Bagaimanapun pelbagai laluan alternatif serta kemudahan awam telah disediakan untuk yang hadir ke sambutan pagi ini.
Situasi mengujakan melihat rakyat Malaysia yang kreatif memakai pakaian menggunakan Jalur Gemilang, selain kostum karekter, juga pakaian tradisional.
Menurut Khairul Hashim dari Pulau Pinang, dia bersama beberapa orang rakan telah tiba tiga minggu lebih awal ke sini kerana tidak mahu melepaskan peluang menyambut ulang tahun Hari Kemerdekaan.
Dia yang mengenakan kostum Power Rangers, mengakui cukup teruja dan sanggup berbelanja.
“Sudah dua tahun kita tidak menyambut kemerdekaan kerana pandemik, saya dengar di sini memang meriah, kerana itu tidak mahu ketinggalan dan mahu sambut bersama-sama dengan yang lain.
“Saya bangun awal sekitar 4 pagi, tidak mahu terperangkap dalam kesesakan. Kami sampai awal, lagi teruja tengok yang lain-lain juga sampai awal. Memang rasa sungguh bersemangat hari ini,” katanya ketika di temui di luar pekarangan pusat beli belah Sogo.
Sementara itu, Tay Boon Ya yang datang bersama dua anak kecilnya dari Wangsa Maju, terkejut melihat puluhan ribu orang sudah membanjiri Dataran Merdeka dan lokasi sekitarnya.
Katanya, sebaik tiba di sini dia terkejut kerana tidak sangka ramai rakyat Malaysia juga sepertinya untuk bersama-sama memeriahkan sambutan hari bersejarah negara.
“Kita datang awal, tapi terkejut tengok ramai sungguh orang. Kami semua teruja untuk melihat sambutan ini walaupun kita tidak dapat lihat dari dekat kerana ramai orang, tapi puas hati sangat.
”Anak-anak saya juga faham hari ini adalah sambutan kemerdekaan,” katanya yang menaruh harapan agar Malaysia lebih aman dan ekonomi kekal stabil.
Sementara itu, bagi pasangan dari Britain yang sedang berbulan madu di negara ini, James dan Natalie, merasa sungguh gembira melihat kemeriahan sambutan Hari Kebangsaan di negara ini.
“Kami sungguh-sungguh teruja. Wow. Menarik sekali. Seperti tidak ada kata-kata sebenarnya. Memang hebat sekali lagi-lagi untuk tengok pelbagai bangsa dan agama menyambut kemerdekaan bersama-sama,” katanya.
Seorang warga Rusia Alexander Chugreev, turut rasa bertuah bersama-sama dengan rakyat Malaysia pada hari ini.
Dia yang baru tiba di Malaysia tiga minggu bersama keluarganya menyifatkan sambutan Hari Kemerdekaan negara cukup meriah.
“Saya bersama keluarga saya baharu sahaja tiba ke negara ini tiga minggu lepas, saya bekerja di sini. Pada saya Malaysia adalah sebuah negara yang hebat, saya langsung tidak kekok di sini, semua rakyat di sini sungguh baik sekali.
“Mereka melayan kami sekeluarga dengan baik sekali, semua sangat sopan, memiliki budi bahasa yang tinggi. Saya amat kagum melihat keharmonian seperti ini. Saya sekeluarga eruja untuk tinggal di sini,” katanya yang turut mengucapkan Selamat Hari Kemerdekaan kepada rakyat di negara ini.
Sementara itu, bagi Suariani Wagino, yang berkerusi roda turut tidak mahu ketinggalan ke Dataran Merdeka.
Dia yang ditemani keluarga dari Klang berkata, tidak kira di mana sambutan Hari Kemerdekaan, mereka sekeluarga akan sama-sama menyertainya.
Manakala bagi Mary Anne dari Sungai Petani tetapi bekerja di ibu negara memberitahu, ini merupakan kali pertama dia menyertai sambutan kemerdekaan.
“Saya cukup gembira melihat seluruh lapisan masyarakat hadir di sini sambil memegang Jalur Gemilang, bernyanyi lagu patriotik penuh semangat,” ujarnya.
Untuk Alimin Aziz pula menyifatkan sambutan tahun ini cukup bermakna buat dirinya.
Dalam rasa gembira itu, beliau berharap rakyat Malaysia sentiasa menghargai perpaduan kaum yang menjadi keunikan negara ini sejak sekian lama.
“Semoga kemerdekaan yang ke-65 ini akan memberi kesan cukup mendalam buat kita semua termasuklah diri saya sendiri,” luahnya dengan sebak.
Setakat artikel ini di tulis, suasana sekitar Dataran Merdeka dan lokasi berdekatan masih lagi sesak walaupun ramai sudah mula beransur pulang.
Masih ramai yang masih bergambar di hadapan Jalur Gemilang, selain merakamkan saat-saat manis bersama keluarga. -MalaysiaGazette