KUANTAN – Sambutan Hari Kemerdekaan negara kali ke 65 peringkat negeri Pahang menyaksikan kunjungan luar biasa orang ramai sejak awal pagi yang membanjiri kawasan Padang Majlis Bandaraya Kauntan (MBK) 4 di sini hari ini.

Dianggarkan lebih 5,000 pengunjung tidak kira usia dan bangsa memeriahkan sambutan yang kembali dianjurkan selepas beberapa tahun seluruh dunia dilanda wabak Covid-19.

Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut mencemar duli hadir ke majlis kali ini.

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri  Wan Rosdy Wan Rosdy dan barisan Exco Kerajaan Pahang.

Berbeza sambutan ulangtahun Kemerdekaan sebelum ini yang disambut sederhana, kali ini, seramai 3,102 peserta mengambil bahagian dalam perarakan yang membabitkan 1,093 anggota berkenderaan dengan 654 kenderaan dipamerkan.

Selain itu, acara dimeriahkan dengan lalu lintas hormat membabitkan seramai 2,009 anggota daripada 52 kontinjen dalam perarakan jalan kaki meliputi pasukan Pancaragam Utama Angkatan Tentera Malaysia (ATM), para pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pelindung Kuantan, Persatuan Kadet Bersatu Malaysia Udara, pelajar SMK Sungai Kuantan, Tokoh-Tokoh Pejuang Veteran ATM, Pesara Polis Pahang, Persatuan Bekas Anggota Skuad 69 PDRM Pahang dan Persatuan Bekas Polis Diraja Malaysia cawangan Indera Mahkota.

Pengunjung juga teruja disajikan dengan persembahan kemuncak bagi sambutan Hari Kebangsaan ke-65 oleh pesawat-pesawat pejuang Sukhoi SU30MKM yang mempamerkan aksi pertunjukan udara  jet pejuang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dalam segmen pertunjukan udara.

Sambutan diakhiri dengan gabungan lagu trma, “Keluarga Malaysia, Teguh Bersama” yang dipersembahkan oleh sekumpulan pelajar dari sekolah menengah dan rendah di seluruh negeri Pahang.-MalaysiaGazette