KUALA LUMPUR – Seorang wanita mencuri barang kemas berharga milik ibu saudaranya untuk melangsaikan hutang ah long gara-gara ketagih main judi.

Kecurian itu disedari orang mangsa yang berusia 64 tahun selepas mendapati bekas besi mengandungi barang kemasnya yang diletakkan dalam laci di kepala katil telah kemek dan bahagian kunci telah dirosakkan.

Ketua Polis Daerah Ampang Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, pengadu membuat pemeriksaan dan dapati beberapa barang kemas miliknya yang dianggarkan sebanyak RM77,500 sudah tiada.

Kejadian itu disedari mangsa lebih kurang jam 4 petang pada 28 Ogos lalu di rumahnya di Mewah Court di Jalan Aman Taman Ampang Mewah.

Antara barang kemas berharga yang dicuri suspek untuk melangsaikan hutang ahlong

Wanita itu telah ditahan polis semalam di tepi jalan besar dekat Taman Dagang bersama sebahagian barang kemas milik pengadu yang dicurinya,

“Suspek mengaku mencuri emas milik emak saudaranya itu dan wang hasil barang emas berkenaan telah habis digunakan untuk membayar hutang ah long.

“Suspek telah dibawa ke Mahkamah Ampang pagi tadi bagi proses reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah untuk membantu siasatan lanjut,” kata Mohamad Farouk.

Kes disiasat bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan iaitu melakukan kesalahan mencuri dalam bangunan atau untuk simpanan harta benda jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast