GENEVA – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah menuduh China melakukan “pelanggaran hak asasi manusia yang serius” dengan dakwaan melakukan penderaan terhadap komuniti Uighur.
Perkara itu didedahkan dalam laporannya.
Sebelum ini China telah menggesa PBB supaya tidak mengeluarkan laporan itu yang disifatkan oleh Beijing sebagai sebagai “gurauan” yang diatur oleh kuasa Barat.
Laporan itu menilai dakwaan penderaan terhadap penduduk Islam Uighur dan etnik minoriti lain, yang telah dinafikan China.
Tetapi penyiasat mendakwa, mereka menemui “bukti yang boleh dipercayai” dalam perbuataan penyeksaan yang merupakan “jenayah terhadap kemanusiaan”.
Mereka menuduh China menggunakan undang-undang keselamatan negara yang samar-samar untuk menyekat hak minoriti dan mewujudkan “sistem penahanan sewenang-wenangnya”.
Laporan itu, yang ditugaskan oleh Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB berkata, penduk yang ditahan telah tertakluk kepada “corak layanan buruk” yang termasuk “insiden keganasan seksual dan berasaskan jantina”.
Selain itu, mereja terpaksa melakukan rawatan perubatan secara paksa dan “penguatkuasaan diskriminasi terhadap dasar perancangan keluarga dan kawalan kelahiran”.
PBB mengesyorkan agar China segera mengambil langkah untuk membebaskan “semua individu yang dirampas kebebasan mereka dengan sewenang-wenangnya”.
Laporan itu turut mencadangkan beberapa tindakan Beijing boleh menyamai “perbuatan jenayah antarabangsa, termasuk jenayah terhadap kemanusiaan”.
Namun PBB berkata, ia tidak dapat memastikan berapa ramai orang Uighur yang telah ditahan oleh China tetapi kumpulan hak asasi manusia menganggarkan lebih daripada sejuta orang telah ditahan di kem di wilayah Xinjiang, di timur laut China.
Terdapat kira-kira 12 juta Uighur, kebanyakannya Islam, tinggal di Xinjiang.
Beberapa negara sebelum ini menyifatkan tindakan China di Xinjiang sebagai pembunuhan beramai-ramai.
Tetapi Beijing – yang melihat laporan itu lebih awal – menafikan dakwaan penderaan dan mempertahankan kem itu adalah alat untuk memerangi keganasan.
Delegasinya ke majlis hak asasi manusia PBB di Geneva menolak penemuan laporan itu, yang dikatakan “memburukkan dan memfitnah China” serta mencampuri urusan dalaman negara itu.
“Apa yang dipanggil ‘penilaian’ ini adalah dokumen politik yang mengabaikan fakta dan mendedahkan sepenuhnya niat Amerika Syarikat, negara Barat dan pasukan anti-China untuk menggunakan hak asasi manusia sebagai alat politik,” katanya dalam satu kenyataan panjang lebar.
Laporan itu dikeluarkan pada hari terakhir Michelle Bachelet menamatkan penggal empat tahunnya sebagai Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia.
Bekas Presiden Chile itu bertekad memastikan laporan itu siap dan diumumkan, biarpun berdepan tekanan hebat daripada Beijing.
Malah pada jam-jam terakhir sebelum laporan itu diterbitkan, China telah memberi tekanan kepada Bachelet supaya tidak mengeluarkannya.
Dalam sidang akhbar Khamis lalu, Bachelet mengaku dia berada di bawah “tekanan yang hebat untuk menerbitkan atau tidak menerbitkan” laporan itu. – BBC