Empat lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka hari ini atas pertuduhan melakukan samun berkumpulan terhadap seorang warga Bangladesh, bulan lalu.

MELAKA – Empat lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini atas pertuduhan melakukan samun berkumpulan terhadap seorang warga Bangladesh, bulan lalu.

Tertuduh, Hafizzul Hizzuan Zulkipli, 31, Fadzulilahie Azmi, 29, Zulkifle Zainal, 34, dan Muhammad Nassir Hassan, 27, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik kertas pertuduhan dibacakan di hadapan hakim Nariman Badruddin.

Mengikut pertuduhan, empat bersahabat itu didakwa melakukan samun berkumpulan terhadap Molla Md Mahbub melibatkan barangan miliknya iaitu wang tunai berjumlah RM1,000, telefon bimbit dan komputer riba bernilai RM2,000.

Kesalahan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan itu dilakukan di sebuah pondok tidak bernombor di Lot 1429, Jalan Sungai Air Hitam, Kampung Tanjung Minyak, pada jam 1 pagi, 19 Ogos lalu.

Sabit kesalahan boleh dipenjara 20 tahun dan sebat.

Terdahulu, pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Anis Najwa Nazari memohon jaminan RM20,000 bagi terhadap setiap tertuduh yang tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM8,000 dan menetapkan 28 September ini untuk sebutan semula kes. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast