Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari berucap pada majlis perasmian Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia ke-68 di Raia Hotel, Alor Setar, Kedah. Foto MOHD ADZLAN, 01 SEPTEMBER 2022.

ALOR SETAR – Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM) tidak akan berkompromi dengan rasuah dan salah guna kuasa, apatah lagi membabitkan soal pertahanan negara susulan kegagalan Kapal Tempur Pesisir (LCS) disiapkan mengikut jadual.

Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, projek yang menelan belanja RM6 billion secara rundingan terus itu sepatutnya menambah kekuatan benteng pertahanan negara.

“Isu rasuah dan salah guna kuasa yang berlaku di dalam negara kita ni perlu dihentikan dengan segera dan dicari akar puncanya. Anak muda perlu menggunakan peluang dan isu ini dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Ia untuk memastikan negara dipimpin oleh individu berwibawa, berintegriti, bebas daripada unsur rasuah dan salah laku urus tadbir,” katanya semasa menyampaikan ucaptama Muktamar DPPM ke-63 di Pusat Konvensyen Raia Hotel, di sini, hari ini.

Tambahnya, campur tangan kerajaan terdahulu terhadap pendirian yang dibuat oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) selaku pengguna akhir hingga menyebabkan projek ini terbengkalai perlu dipandang serius.

“Campur tangan politik yang keterlaluan menyumbang kepada projek ini tidak dapat disiapkan mengikut garis masa yang telah ditetapkan

“Kerosakan yang dilakukan Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan tidak boleh dinafikan dan kesannya masih dirasai oleh rakyat sehingga sekarang,” katanya lagi. – MalaysiaGazette