Anggota polis mengawal keadaan sekitar mahkamah pada hari keputusan isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor sama ada dibebaskan atau disabitkan kesalahan atas tiga pertuduhan rasuah berkaitan projek hibrid solar 369 sekolah luar bandar Sarawak di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 01 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Keputusan kes rasuah projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak melibatkan Datin Seri Rosmah Mansor menjadi tumpuan dalam dan luar negara apabila pengamal media mula tiba seawal 7 pagi di pintu masuk Mahkamah Tinggi seawal 7 pagi tadi.

Ia antara kes profil tinggi penting di negara ini dengan prosidingnya sudah berjalan hampir empat tahun hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati kawalan keselamatan di sekitar Kompleks Mahkamah Jalan Duta agak ketat hari ini, yang mana para media yang membuat liputan perlu mendaftar lebih awal.

Bagi liputan hari ini, jurugambar dan juruvideo dibenarkan berada di sekitar lobi mahkamah manakala wartawan pula di tempatkan di bilik pautan video yang menyiarkan prosiding.

Perkarangan mahkamah tenang dengan kawalan ketat polis menjelang keputusan mahkamah terhadap kes rasuah berkaitan projek hibrid solar membabitkan Datin Seri Rosmah Mansor di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 01 SEPTEMBER 2022.

Difahamkan mahkamah telah menyediakan 60 pas jurugambar dan jurukamera video manakala sebanyak  35 pas pautan video di bilik lain telah dikeluarkan kepada wartawan untuk membuat liputan kes ini.

 Mohamed Zaini dijangka menyampaikan keputusannya antara sekitar 9 hingga 9.30 pagi ini.

Sama ada Rosmah akan dibebas dan dilepaskan atau bersalah atas tiga pertuduhan akan diketahui sebentar sahaja lagi walaupun pelbagai andaian dan spekulasi sudah mula berlegar ketika ini.

Rosmah  berdepan dengan dakwaan meminta RM187.5 juta dan menerima rasuah RM6.5 juta dalam projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion.

Semalam, Rosmah telah memfailkan permohonan di saat akhir supaya Hakim Mohamed Zaini menarik diri daripada mendengar atau membuat keputusan berhubung kes itu.

Permohonan itu difailkan atas alasan tular di media massa dan elektronik pada 26 Ogos lepas berkenaan berlakunya kebocoran keputusan Hakim Mohamed Zaini bagi kes itu yang disediakan oleh pihak lain dan bukannya hakim berkenaan.

Rosmah turut memohon satu perintah lanjutan penarikan diri oleh hakim itu, justeru kes solar berkenaan hendaklah didengar, dibicarakan semula atau diputuskan oleh hakim Mahkamah Tinggi lain.

Sumber MalaysiaGazette memberitahu, kemungkinan besar permohonan yang dikemukakan itu tidak akan menjejaskan keputusan yang bakal disampaikan dalam sejam dua lagi.

Petugas media membuat persiapan liputan keputusan kes rasuah projek hibrid solar melibatkan Datin Seri Rosmah Mansor di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 01 SEPTEMBER 2022.

Kelmarin pula Mahkamah Tinggi telah menolak permohonan Rosmah yang mengambil tindakan sivil untuk mencabar pelantikan Datuk Seri Gopal Sri Ram sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan dalam kes rasuah projek solar yang di hadapinya.

Rosmah, berhadapan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada bekas pengarah urusan Jepak Holdings Saidi Abang Samsudin.

Rasuah terbabit didakwa diterima melalui bekas pegawai khasnya Rizal Mansor sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion daripada Kementerian Pendidikan (KPM) secara rundingan terus

Pihak pendakwaan diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan Gopal Sri Ram sementara peguam Jagjit Singh mengetuai pihak pembelaan.

Setakat artikel ini di tulis sekitar 8.40 pagi, kelibat Rosmah masih belum kelihatan setakat ini manakala lobi dan bilik pautan video sudah di penuh dengan kehadiran wartawan. -MalaysiaGazette