Bangunan Kementerian Kewangan di Putrajaya.

KUALA LUMPUR – Semua pihak dijemput untuk memberi maklum balas kepada Kementerian Kewangan (MOF) Kertas Konsultasi Awam (KKA) untuk Bajet 2023 bertajuk “Dasar Penggunaan Barangan, Perkhidmatan dan Teknologi Hasil Penyelidikan Dan Pembangunan (R&D) Tempatan Dalam Perolehan Kerajaan”.

Antara objektif KKA tersebut adalah untuk melindungi dan membangunkan industri tempatan, mengurangkan kebergantungan kepada barangan import, mewujudkan peluang perniagaan, meningkatkan daya saing dan daya tahan serta membangunkan keupayaan syarikat teknologi tempatan  di samping menyokong ekosistem pemindahan teknologi, pengkomersialan dan pemasaran hasil R&D tempatan.

MOF berkata, maklum balas itu boleh dibuat melalui pautan https://budget.mof.gov.my/bajet2023/kertaskonsultasi/ sebelum atau pada 15 September 2022.

Penerbitan KKA merupakan sebahagian daripada usaha keseluruhan MOF untuk menjadikan proses penyediaan Bajet tahunan lebih telus dan penglibatan semua pihak secara menyeluruh.

Kerajaan yakin penerbitan KKA akan menyediakan lebih banyak peluang kepada semua pihak berkepentingan untuk memberi maklum balas masing-masing bagi membolehkan kerajaan merangka sebuah bajet tahunan yang memenuhi keperluan rakyat, serta selaras dengan dasar pembangunan sosioekonomi negara. – MalaysiaGazette