Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor hadir ke mahkamah pada hari keputusan sama ada dibebaskan atau disabitkan kesalahan atas tiga pertuduhan rasuah berkaitan projek hibrid solar 369 sekolah luar bandar Sarawak di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 01 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Keadaan senyap seketika apabila mahkamah membenarkan Datin Seri Rosmah Mansor memberikan kenyataannya sejurus selepas keputusan mahkamah memutuskan dirinya bersalah meminta rasuah RM187.5 juta dan menerima RM6.5 juta.

Rosmah yang sudah menangis ketika keputusan dibacakan menyambung kenyataannya teresak-esak.

Isteri kepada bekas Perdana Menteri,  Datuk Seri Najib Razak itu turut memberi bayangan bagaimana dirinya menjadi mangsa selepas suaminya yang turut disabitkan hukuman dan kini sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang.

“Tolonglah Yang Arif, tolong ada pertimbangan dan belas kasihan. Jika ini boleh berlaku kepada saya, ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, kepada isteri anda, anak anda atau sesiapa sahaja pada masa hadapan.

“Kami sekeluarga sedang sengsara. Jika benarlah saya menyeleweng duit seperti ini, saya tidak perlu buatnya dengan Jepak Holdings yang tidak saya kenali.

“Saya tidak tahu mereka-mereka (Jepak) ini. Pegawai saya dulu, (Datuk) Rizal (Mansor) yang mengendalikan semuanya, tidak ada sesiapa pun nampak saya ambil apa-apa tapi saya kena.

“Tolonglah berperikemanusiaan terhadap saya. Tolong lihat saya sebagai seorang wanita kini yang terpaksa memikul tugas seorang bapa. Tolong jadi lebih berperikemanusiaan,” katanya.

Ketika prosiding mitigasi sebentar tadi, peguambela, Datuk Jagjit Singh telah memohon mahkamah menimbangkan hukuman penjara dan hukuman ringan lain kepada Rosmah berdasarkan segala sumbangan kepada negara sebelum ini.

Manakala Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram pula memohon mahkamah supaya mengenakan hukuman maksimum kepadanya dengan setiap tiga pertuduhan terhadap Rosmah membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda lima kali nilai rasuah.

Kata Sri Ram, hukuman juga boleh dijadikan pengajaran pada masa depan supaya rasuah tidak lagi menjadi isu di negara ini.

Mohamed Zaini telah menangguhkan prosiding sebentar sebelum menjatuhkan hukuman kepada Rosmah. -MalaysiaGazette