Tuan Ibrahim Tuan Man

SIK – Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man meminta rakyat memberi peluang untuk Perikatan Nasional mengambil tampuk pemerintahan negara pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.

Jelas beliau, ia susulan rakyat sudah merasai pemerintahan Barisan Nasional (BN) sejak puluhan tahun serta Pakatan Harapan pada PRU Ke-14.

“Kita rasa rakyat dah tahu macam mana pentadbiran BN berpuluh tahun dan rakyat juga dah rasa pemerintahan PH yang rakyat belum rasai ialah pemerintahan PN.

“Jadi kita kemukakan ini sebagai satu pilihan terbaik untuk rakyat melihat pada masa depan negara,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Dewan Muslimat Pas di Dewan Al-Hana di sini, hari ini.

Beliau yang turut ditanya mengenai status Muafakat Nasional berkata, tiada mana-mana pihak yang membubarkan Muafakat Nasional sehingga hari ini memandangkan platform itu diperlukan demi kepentingan bersama.

“MN mungkin tiada dalam konteks parti pilihan raya tapi dalam konteks bicarakan kepentingan bersama orang Islam ia perlu.

“Kita terbuka tapi yang mendesak sebelah sana kerana yang jelas tak nak penyatuan ummah UMNO berdasarkan beberapa kenyataan pemimpin mereka.

“Rakyat tahu gagasan kita (Pas) penyatuan ummah tapi yang isytihar nak bergerak solo, lawan Pas di Kelantan serta Terengganu adalah UMNO. Jadi saya fikir bukan pihak kami yang sepatutnya dijadikan bebanan tapi mereka,” kata beliau. – MalaysiaGazette