Menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Johor mencatatkan pelaburan tertinggi negara iaitu RM60.9 Billion bagi separuh pertama 2022.

JOHOR BAHRU – Johor mencatatkan pelaburan tertinggi dalam negara iaitu RM60.9 bilion bagi separuh pertama tahun 2022.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, ia merupakan peningkatan sebanyak 822% berbanding pelaburan tempoh yang sama bagi tahun lepas.

“InsyaAllah, apa yang dicapai membuktikan Johor mampu menarik pelaburan yang berteknologi tinggi dan berkualiti, sekali gus meningkatkan lagi ekonomi negeri ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.

Menurut Onn Hafiz, bagi tempoh Januari hingga Jun 2022, sektor perkhidmatan mencatatkan pelaburan sebanyak RM54.2 bilion dengan majoritinya diperoleh daripada kehadiran firma-firma pusat data yang berpangkalan di luar negara.

Tambah beliau, sektor perkilangan menarik pelaburan luar berjumlah RM6.7 bilion dan pelaburan yang diperoleh itu akan mewujudkan peluang pekerjaan baharu selain kesan berganda dalam negeri. – MalaysiaGazette