isham jalil
Isham Jalil

KUALA LUMPUR – Pas diingatkan bahawa partinya dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak akan menjadi kerajaan sekiranya tidak mendapat sokongan UMNO.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil berkata, UMNO sebenarnya mahu Parlimen dibubarkan selepas Tun Dr. Mahathir Mohamad meletak jawatan sebagai Perdana Menteri ketujuh.

Bagaimanapun, katanya, Pas yang ingin mengangkat Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

“Apabila tidak boleh bubar sebab Covid-19, maka baru kami sokong untuk bentuk kerajaan. Jika kami tidak sokong, kamu pun tidak jadi menteri,” katanya dalam hantaran Facebook miliknya malam tadi.

Ketika berucap merasmikan Muktamar Tahunan Pemuda Pas di Alor Setar semalam, Tuan Ibrahim yang juga Timbalan Presiden Pas berkata, UMNO tidak mungkin berada dalam kerajaan jika tidak kerana Bersatu.

Sambil menyifatkan kenyataan Tuan Ibrahim itu sebagai songsang, Isham mendakwa, Muhyiddin menarik diri dari PH sebab beliau rasa Bersatu akan kalah pilihan raya jika tidak berbuat demikian.

Beliau mendakwa, Muhyiddin takut hilang kuasa bukan sebab ikhlas ingin membentuk kerajaan bersama UMNO.

“Beliau sendiri kata UMNO sudah masuk longkang. Beliau jumpa Dr. Mahathir untuk berbuat sesuatu selepas Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai yang mana Bersatu telah kalah teruk.

“Selepas itu beliau dan Dr. Mahathir buat Langkah Sheraton dan khianat kawan sendiri. Beliau sendiri mengaku berkenaan hal ini dalam ucapannya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tahun lepas. Bukankah kamu pun ada di sana masa itu?” soalnya.

Isham menambah, Muhyiddin pernah mengugut ingin menarik sokongan sebab beliau pun pernah menyatakan UMNO boleh menjadi kerajaan kerana sokongan Bersatu.

“Oleh itu jika kamu begitu berkuasa dan tidak suka UMNO, mengapa tidak tarik-tarik lagi sokongan? Takut hilang jawatan dan kalah pilihan raya?

“Sudahlah kamu bekerjasama dengan pengkhianat, usah pula paksa orang lain untuk terima pengkhianat. Dan janganlah sombong dan angkuh sangat. Islam tidak ajar untuk jadi sombong dan angkuh,” jelasnya. – MalaysiaGazette