Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari berucap pada majlis perasmian Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia ke-63 di Raia Hotel, Alor Setar, Kedah. Foto MOHD ADZLAN, 01 SEPTEMBER 2022.

ALOR SETAR – Cadangan untuk menjenamakan semula 27 kerusi yang berisiko dimenangi Pakatan Harapan (PH) sebagai kerusi Muafakat Nasional (MN) bukan keutamaan Pas.

Ketua Dewan Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, sebaliknya rundingan kerusi itu antara parti dengan UMNO menjadi keutamaan ketika ini bagi mengelak berlaku pertembungan yang hanya menguntungkan Pakatan Harapan (PH).

“Soal jenama perkara kedua, yang penting rundingan itu perlu berlaku, nak namakan MN atau apa, itu terpulang.

“Yang penting rundingan itu perlu berlaku, kalau tak berlaku rundingan, ia berisiko untuk dimenangi oleh PH di mana semua pihak akan menanggung kerugian,” katanya pada sidang media di Pusat Konvensyen Raia Hotel hari ini.

Terdahulu beliau menyampaikan ucapan penggulungan pada Muktamar Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM) ke-63.

Terdahulu, seorang perwakilan Pemuda Pas dari Johor ketika membahaskan usul DPPM mencadangkan agar kesemua 27 kerusi berisiko itu dijenamakan semula sebagai kerusi MN.

Menurutnya, penjenamaan itu sebagai langkah untuk menjernihkan hubungan antara Pas dan UMNO bagi membolehkan rundingan kerusi itu dilakukan untuk mengelakkan berlakunya pertembungan pada PRU-15 akan datang.

“Semua 27 kerusi Parlimen berisiko tinggi, kalau tidak berjaya MN khususnya Pas dan UMNO boleh jadi 27 kerusi ini jatuh kepada PH pada pilihan raya akan datang.

“Saya mencadangkan supaya 27 kerusi ini diberi nama sebagai kerusi MN sebab apa masa PRU-14, 20 kerusi Parlimen ini dimenangi oleh PH, tujuh kerusi Parlimen yang lain ini bakal jatuh kepada PH sekiranya MN gagal dan tidak berjaya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette