JOHOR BAHRU – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) akan mengumumkan pengarah pilihan raya bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), dalam satu persidangan yang akan berlangsung di Kuala Lumpur pada Isnin dan Selasa ini (5 dan 6 Sept).
Timbalan Presiden MUDA, Amira Aisya Abd Aziz berkata, menerusi persidangan itu juga, beberapa bengkel bagi persediaan menuju PRU15 akan diadakan.
“Di hujung persidangan itu, kita juga akan mengumumkan Jawatankuasa Pilihan Raya termasuk Pengarah Pilihan Raya MUDA,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Terdahulu, Amira Aisya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Puteri Wangsa mengadakan pertemuan dengan pembeli projek Flat Taman Mount Austin yang terbengkalai di sini.
Ketika ditanya sama ada MUDA akan terus bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) pada PRU15, beliau berharap agar kerjasama dengan PH dapat diteruskan seperti Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
“Kita kalau boleh, kita hendak bergerak dengan parti-parti yang berkongsi prinsip dan dasar yang sama…yang paling utama sekali bagi kami, PH memang berkongsi prinsip dan dasar yang sama dengan MUDA,” katanya.
Bagaimanapun, Amira Aisya berkata, parti itu perlu berbincang dengan PH mengenai cara terbaik untuk mereka bergerak bersama dalam PRU15.
PRN Johor pada Mac lepas merupakan pentas pilihan raya pertama, yang menyaksikan MUDA bertanding selepas secara rasmi didaftarkan pada 23 Dis tahun lepas.
MUDA memenangi satu daripada tujuh kerusi ditandingi pada PRN itu, menyaksikan Amira Aisya menang dengan majoriti 7,114 undi dalam pertandingan enam penjuru. – Bernama