Asyraf Wajdi Dusuki Petronas
Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli Abd. Halim diingatkan bahawa tindakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengambil dividen khas RM30 bilion daripada Petroliam Nasional Berhad (Petronas) pada 2019 di samping dividen awal RM24 bilion telah menyebabkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) itu mengalami defisit.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, keuntungan Petronas pada tahun tersebut hanya RM40.5 bilion.

“Berbeza pada tahun ini yang mana keuntungan bersih Petronas dijangka mencecah RM80 bilion.

“Jadi kalau Petronas bayar RM50 bilion dividen sekali pun (termasuk RM25 bilion dividen awal yang sudah diumum), akaun Petronas masih lagi surplus (lebihan) RM30 bilion,” katanya dalam hantaran Facebook miliknya, hari ini.

Adam Adli dalam satu kenyataan hari ini mempersoalkan sama ada Asyraf Wajdi akan mengkritik kerajaan kerana menerima dividen khas sebanyak RM25 bilion daripada Petronas.

Asyraf Wajdi menambah, Pemuda UMNO ketika itu menyanggah tindakan kerajaan PH mengambil wang rizab Petronas dan bukannya dari hasil keuntungan sehingga menyebabkan kedudukan kewangan syarikat itu mengalami defisit.

“Mungkin adinda saya ini tidak sedar ia adalah punca mengapa agensi penarafan menurunkan taraf Petronas pada tahun tersebut disebabkan tindakan ini,” jelasnya.

Beliau memberitahu, tindakan kerajaan PH mengambil dividen khas Petronas itu sebenarnya berpunca daripada kesilapan mereka sendiri.

Asyraf Wajdi memberitahu, sekiranya PH tidak mengambil langkah populis menghapuskan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) secara mengejut tanpa sebarang penggantian cukai lain secara serta merta, sudah tentu tidak timbul isu kekangan kewangan kerajaan ketika itu.

“Namun, ia berbeza pada hari ini. Pada hari ini keperluan kerajaan adalah untuk mengawal inflasi.

“Masalah inflasi ini adalah masalah seluruh dunia disebabkan gangguan bekalan. Dan cara paling berkesan adalah dengan menyalurkan subsidi bersasar kepada barangan asas dan utama,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast