Gambar hiasan

PETALING JAYA – Walaupun ramai yang beranggapan industri pembinaan memerlukan tambahan sehingga sejuta pekerja, tetapi angka itu dikhuatiri tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan sebenar.

Setiausaha Agung Gabungan Persatuan-Persatuan Pembina Malaysia, Xin Fu Ming berkata, sekiranya mahu memastikan semua projek besar dan kecil di Malaysia berjalan secara sempurna, maka tambahan sejuta pekerja adalah langsung tidak mencukupi.

Beliau berkata, walaupun kekurangan data, tetapi hakikatnya kekurangan pekerja asing telah menyebabkan syarikat pembinaan muflis, projek tergendala, kontraktor didakwa dan membayar ganti rugi.

Katanya kepada Sinchew Daily, walaupun sesetengah syarikat memilih menggaji pekerja asing tanpa izin dalam keadaaan tiada pilihan, tetapi mereka juga tidak mengambil pekerja berkenaan secara jangka panjang.

“Pekerja tanpa izin akan digaji secara sementara waktu iaitu sehingga satu projek disiapkan kerana tiada orang yang sanggup menanggung risiko.

“Jika projek berada dalam peringkat ‘setengah jalan’, maka pekerja tanpa izin terpaksa diambil untuk menyiapkan projek.

“Untuk projek baharu pula, pembina tidak akan menerima projek itu jika mengalami masalah kekurangan pekerja,” katanya.

Selain masalah pekerja, kata Fu Ming, kos bahan binaan yang melonjak sejak Oktober tahun lalu juga menghantui syarikat  pembinaan.

“Kenaikan harga pernah melebihi 50 peratus pada satu ketika dan berlegar pada tahap 30 hingga 50 peratus pada ketika ini.

“Isu kos dan pekerja dijangka akan menyebabkan prestasi sektor pembinaan menurun pada separuh tahun kedua,” katanya.

Sehubungan dengan itu, beliau meminta kerajaan melakukan penyelarasan dengan negara sumber pekerja asing untuk mengurangkan faktor tidak menentu.

“Kami telah membayar dan mendapat surat kelulusan, tetapi pekerja yang ditunggu-tunggu tidak sampai,” katanya.

Selain itu, pihak berkuasa juga diseru mengutamakan syarikat kecil dan sederhana dalam soal pengagihan pekerja asing.

“Projek besar bukannya tiada pekerja asing, tetapi cuma bilangannya tidak cukup. Bagaimanapun, projek mereka masih berjalan.

“Untuk syarikat kecil dan sederhana pula, mereka perlu pulih selepas menerima tamparan pandemik. Pemulihan tidak dapat berlaku jika tiada pekerja,” katanya. – MalaysiaGazette