KUALA LUMPUR – Hubungan dua parti Melayu terbesar melalui kerangka Muafakat Nasional (MN) yang sememangnya retak tidak lagi dapat diselamatkan apabila UMNO menegaskan ia akan bergerak solo pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) tanpa bekerjasama dengan Pas.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan itu diambil ekoran tindak-tanduk dan sikap Pas sendiri.
“Tak perlu sedu-sedan apabila Pas sendiri sentiasa main selamat dan mandi dalam beberapa kolam. Inilah realiti politik yang perlu kita hadapi!” katanya dalam hantaran Facebook miliknya hari ini.
Isu kerjasama Pas dan UMNO dalam MN sedang hangat dibincangkan pada Muktamar Tahunan Pas 2022 yang berlangsung di Kedah ketika ini.
Pemimpin-pemimpin Pas termasuk Mursyidul Amnya, Datuk Hashim Jasin dan Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man cuba memujuk UMNO untuk bekerjasama dalam PRU-15 bagi menghalang Pakatan Harapan (PH) daripada berkuasa kembali.
Tuan Ibrahim turut menyatakan bahawa Pas tidak pernah mengisytiharkan pembubaran MN.
Bagaimanapun, usaha itu sukar direalisasikan kerana UMNO menolak sebarang kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang merupakan sekutu Pas dalam Perikatan Nasional (PN).
Ahmad Zahid menambah, kunci kejayaan dan kestabilan politik MN adalah kepercayaan dan kepercayaan itu dirobekkan oleh Pas apabila ia memilih untuk menganggotai PN di bawah Bersatu sekaligus menenggelamkan momentum kerjasama yang dibina bersama UMNO melalui MN.
“Bagaimanakah kestabilan, keyakinan dan kerjasama yang kukuh dapat terjalin sekiranya perkara paling asas iaitu prinsip dan kepercayaan diabaikan?
“Lebih-lebih lagi dengan parti yang sememangnya jelas ingin menghancurkan UMNO dari luar dan dari dalam,” jelasnya.
Beliau berpandangan, kerjasama yang Pas sampaikan hanya satu bentuk kerjasama politik dangkal yang tidak mengambil kira keperluan rakyat sebagaimana semangat MN yang sebenar.
“Hanya dengan kembali kepada kerjasama asal, barulah keikhlasan Pas dapat dilihat,” katanya.
Ahmad Zahid mengingatkan kembali bahawa MN lahir daripada keperluan mendesak dua parti terbesar di Malaysia ekoran kehilangan keyakinan rakyat terhadap kerajaan PH ketika itu.
Menurut beliau, MN ditawarkan sebagai satu bentuk resolusi yang berani dan tegas daripada seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang atau kelas sosial, supaya Malaysia dapat dipimpin semula dengan lebih terarah dan bertanggungjawab.
Ahmad Zahid berkata, kerjasama UMNO dengan Pas seharusnya menjadi entiti terbaik bagi memimpin jalan ke hadapan.
“Mengapa? kerana dalam PRU-14 yang lalu, jumlah undi kepada Barisan Nasional (BN) yang dipimpin UMNO dan Pas boleh mencecah hampir 50 peratus undi yang mengatasi undi PH.
“Rakyat pula tidak yakin dengan janji melangit yang ditawarkan PH dan barisan kepimpinannya,” katanya.
Beliau menjelaskan, semangat MN tidak sekadar dimanifestasikan sebagai kerjasama politik tetapi terjemahan besarnya adalah dalam satu bentuk wadah nasional yang lebih subur dan murni yang dipasakkan kepada sejarah dan watak Malaysia, Rukun Negara dan keluhuran Perlembagaan Persekutuan.
“Sepertimana idealisme yang terbentuk melalui etos the American Dream, yang dimiliki dan dicerapkan dalam kehidupan harian rakyat di Amerika. Bukan sekadar retorik politik,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, MN memerlukan kestabilan dan kekuatan politik dan citra tersebut diterjemahkan oleh rakyat melalui siri-siri kemenangan dalam pilihan raya kecil selepas PRU-14 yang memperlihatkan sinergi yang jelas antara kedua-dua parti dan menghantar mesej yang jelas kepada kerajaan ketika itu untuk memperbetulkan haluan dan mendengar nadi rakyat.
“Ini semua telah dijadikan sandaran asas dengan termeterainya Piagam MN,” jelasnya. – MalaysiaGazette