Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Beh Eng Lai (tengah) menunjukkan berang rampasan pada sidang media berkenaan kejayaan menumpaskan sindiket pengedaran dadah berjumlah rm220,950.24 di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA'IM, 02 OGOS 2022.

KUALA LUMPUR – Polis berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah yang aktif di Sentul menerusi serbuan yang dilakukan di sebuah pondok di Segambut kelmarin.

Menerusi serbuan yang dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSNJD), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul itu, pelbagai jenis dadah seperti heroin, kafein, ketamin dan methamphethamine bernilai RM220,950 dirampas di lokasi serbuan.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, tiga individu dengan salah seorang daripadanya ketua sindiket turut direman sehingga 7 September depan untuk siasatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Beh Eng Lai . Foto MUHD NA’IM, 02 OGOS 2022.

“Berdasarkan semakan kita dapati ketiga-tiga suspek mempunyai rekod berkaitan dadah dan ujian air kencing yang dijalankan turut mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati mandatori atau penjara seumur hidup dan juga hendaklah disebat tidak kurang 15 sebatan jika tidak dihukum dengan hukuman mati,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Menurut Eng Lai, turut dirampas dalam serbuan itu sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Nissan X-Trail, sebuah motokar jenis Honda Accord, sebuah motosikal jenis Honda RS 150, seutas jam tangan jenama Armanai Exchange, seutas rantai leher dan sebentuk cicncin bertulis Vinothini.

Antara dadah yang dirampas pada sidang media berkenaan kejayaan menumpaskan sindiket pengedaran dadah berjumlah rm220,950.24 di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 02 OGOS 2022.

Katanya, berdasarkan siasatan awal kesemua suspek telah terlibat dengan jenayah terbabit sejak awal tahun ini.

Tambahnya, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenalpasti ahli sindiket lain dan sumber bekalan untuk memproses dadah yang diperoleh.

Beliau menjelaskan, pihaknya percaya menerusi tangkapan dan rampasan tersebut polis berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah yang aktif di kawasan sekitar Lembah Klang. – MalaysiaGazette