Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong (kiri) dan Adun Kesidang, Allex Seah (kanan) memegang banner Selamatkan Anak Kami selepas sidang media penculikan 9 mangsa ke Laos di Kementerian Luar Negeri, Putrajaya. Foto MUHD NA'IM, 02 SEPTEMBER 2022.

PUTRAJAYA – Sembilan ahli keluarga menuntut agar kerajaan lebih proaktif menjalankan aktiviti menyelamatkan sembilan warganegara Malaysia yang ditipu sindiket pemerdagangan orang di Laos.

Ahli Parlimen DAP, Khoo Poay Tiong yang mewakili ahli keluarga berkenaan berkata, langkah sama sebelum ini telah dibuat pelbagai pihak termasuk pihak kedutaan di negara terbabit sehingga berjaya menyelamatkan empat warganegara Malaysia yang diseksa sindiket terbabit.

“Kami cadang Kementerian Luar Negeri ambil inisiatif dengan mengadakan persidangan khas bersama-sama dengan semua negara ASEAN dan negara Taiwan bagaimana untuk mengatasi masalah ini.

“Ini bukan lagi kes solo melibatkan negara kita sahaja tapi melibatkan semua negara antaranya China, Laos, Kemboja dan banyak lagi. Kita lihat perlu ada persefahaman antara semua negara.

“Kalau mengikut laporan media semalam, seorang rakyat Malaysia maut kerana telah diseksa. Jadi kita berharap agar Kementerian Luar jangan tunggu sampai ramai meninggal dunia baru nak ambil tindakan,” katanya dalam sidang media mewakili sembilan keluarga mangsa di pintu Kementerian Luar Negeri hari ini.

Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong bercakap kepada media mengenai penculikan 9 mangsa ke Laos di Kementerian Luar Negeri, Putrajaya. Foto MUHD NA’IM, 02 SEPTEMBER 2022.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kesidang, Allex Seah.

Mereka bersama-sama sembilan ahli keluarga mangsa bertindak menyerahkan memorandum kepada Kementerian Luar agar isu ini segera diambil perhatian.

Jelas Poay Tiong  lagi, mangsa terpedaya dengan tawaran gaji lumayan bertindak menyelinap keluar daripada negara dengan cara yang tidak sah.

Semuanya bermula apabila pusat khidmat masyarakat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kesidang menerima kes daripada ibu bapa dan ahli keluarga dimana anak mereka didapati ditipu dalam sindiket tawaran kerja di luar negar iaitu di Laos dan Kemboja.

Sehingga hari ini, masih terdapat sembilan lagi warganegara Malaysia yang didapati ditahan serta diseksa sindiket berkenaan yang menawarkan kerja sebagai scammer kepada mereka.

Dalam pada itu, Seah menggesa kerajaan memberikan tekanan kepada negara-negara ini agar Malaysia dapat segera menyelamatkan kesemua sembilan mangsa ini.

“Kalau tidak dibuat secara segera, saya percaya nyawa mereka akan terancam dan kita patut selamatkan mereka.

“Ada daripada mereka dibawa dari Kelantan memasuki hutan dan menyeberang negara Thailand, ada juga yang kesana secara sah menerusi Dubai dan mereka dikehendaki ke Thailand dan dari situ mereka dibawa masuk ke Laos,” katanya dalam sidang media sama.

Kesemua sembilan warganegara Malaysia itu berusia antara 17 tahun sehingga 27 tahun dan dipercayai sudah berada di Laos sejak tahun 2020 lagi. – MalaysiaGazette