Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendoakan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang dilaporkan positif jangkitan Covid-19 agar cepat sembuh.

“Menerima perkhabaran Tun Dr. Mahathir bin Mohamad dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN).

“Semoga Tun yang dilaporkan positif jangkitan Covid-19 diberi kesembuhan.

“Ya Allah! Sembuhlah orang sakit dalam kalangan kami. Afiatkanlah orang yang diuji dalam kalangan kami dan rahmatilah orang yang telah mati dalam kalangan kami,” doanya menerusi hantaran Facebooknya semalam.

Dr. Mahathir disahkan positif Covid-19 pada pagi Rabu lalu mengikut kenyataan pejabat bekas perdana menteri itu.

Beliau kini dimasukkan ke IJN untuk pemantauan beberapa hari seperti yang dinasihatkan oleh pasukan kesihatan.

Kali terakhir Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu dimasukkan ke IJN awal Januari tahun ini untuk menjalani prosedur perubatan elektif.

Pada 16 Disember tahun lalu, media melaporkan, Dr. Mahathir turut dimasukkan ke institut itu untuk menerima rawatan sama. – MalaysiaGazette