Pelajar, Wan Norazilah Wan Ayub menunjukkan peranti yang diterimanya pada Majlis Pelancaran Inisiatif Perantisiswa Keluarga Malaysia di Dewan Agung Tuanku Canselor, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 03 SEPTEMBER 2022.

SHAH ALAM – Seramai hampir 100,000 pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) telah membuat permohonan menjadi penerima peranti percuma Program PerantiSiswa Keluarga Malaysia fasa 1.

Dalam masa yang sama Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM), Tan Sri Annuar Musa berkata, lebih 50,000 pelajar telah memohon peranti percuma bagi fasa 2.

Jelasnya, permohonan dibahagikan kepada dua peringkat selepas K-KOMM selaku kementerian peneraju program berkenaan mempertimbangkan kemasukan pelajar IPT baharu yang berbeza, selain memberi ruang kepada pembekal menyediakan peranti yang cukup mengikut permintaan.

“Tempoh pembelajaran berbeza. Terutama ini pertengahan tahun ada kemasukan pelajar baharu.

“Dengan adanya kaedah dua fasa pelajar yang masuk September  boleh mohon. Juga untuk pastikan dalam konsep perolehan kita beri ruang kepada pembekal,” katanya ketika sidang media selepas Majlis Pelancaran Program PerantiSiswa Keluarga Malaysia di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC), UiTM, di sini, hari ini.

Katanya, sebanyak 400,000 unit peranti diperuntukkan di bawah program tersebut.

Pemberian peranti percuma di bawah program ini diwujudkan khas untuk pelajar IPT dalam golongan B40.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa bercakap pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Inisiatif Perantisiswa Keluarga Malaysia di Dewan Agung Tuanku Canselor, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 03 SEPTEMBER 2022.

Mengulas lanjut, Annuar berharap pelajar yang layak menerima tidak menyalahgunakan peranti berkenaan untuk kepentingan yang tidak munasabah.

“Besar harapan saya walaupun peranti ini diberikan secara one-off percuma saya harap semua yang diluluskan dapat menjaganya dengan baik tidak menjual peranti tersebut dan sebagainya,” tambahnya.

Dalam masa yang sama, beliau turut menyarankan supaya pelajar yang pernah menerima peranti percuma sebelum ini  supaya tidak memohon di bawah program ini bagi memberi peluang kepada golongan yang benar-benar memerlukan.

Seramai 450 pelajar IPT sekitar Lembah Klang menjadi antara penerima peranti fasa satu hadir pada hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri hadir melancarkan Program PerantiSiswa Keluarga Malaysia yang diterajui K-KOMM.

Selain Annuar turut hadir pada majlis itu, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri  Dr Noraini Ahmad dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar. – MalaysiaGazette