Upin Ipin dan rakan-rakan bergambar kenangan pada sidang media penganjuran ''Teater Muzikal Upin dan Ipin - Pin Pin Pom!'' di Hotel Grand Hyatt, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 28 JUN 2022.

KUALA LUMPUR – Tiket Teater Muzikal Upin & Ipin – Pin Pin Pom! yang dipentaskan di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) kini boleh diperolehi pada harga lebih murah apabila Les’ Copaque Production menawarkan diskaun sebanyak 50 peratus.

Potongan harga itu bertujuan meningkatkan jualan tiket sempena cuti sekolah yang bakal bermula.

Menurut Penerbit dan Pengarah Urusan Les’ Copaque Production Sdn Bhd, Burhanuddin Md Radzi, diskaun diberi bagi menggalakkan lebih ramai peminat Upin & Ipin dan rakyat Malaysia mampu menyaksikan pementasan tersebut.

“Kami beri diskaun yang banyak untuk penonton tempatan. Pementasan ini sebenarnya dibawa penganjur antarabangsa.

“Sebelum ini, saya sudah nyatakan, jika tiket mahal, orang tidak mahu datang. Selepas saya pulang dari London, United Kingdom (UK) baru-baru ini, saya dapati penjualan tiket tidak laju,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis tayangan media Teater Muzikal Upin & Ipin – Pin Pin Pom! di Dewan Plenary, KLCC semalam.

Beliau berharap usaha berkenaan mendapat sambutan daripada penonton tempatan.

“Jadi, kami harap sokongan penonton tempatan kerana ini produk Malaysia. Kami juga mahu mempromosikannya di luar negara,” katanya.

Teater dibawa Les’ Copaque Production yang diurus bersama Syarikat Star Fotress Sdn Bhd itu dipentaskan pada jam 11 pagi, 3 petang dan 8.15 malam, bermula semalam dan hari ini.

Orang ramai yang mahu mendapatkan tiket pementasan itu boleh melayari laman web Trip.com. – MalaysiaGazette