Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang ketika berjalan keluar dari dewan selepas selesai Muktamar Tahunan Pas ke-68 di Kompleks Pas Kedah Kota Sarang Semut, Alor Setar, Kedah. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 03 SEPTEMBER 2022.

ALOR SETAR – Muktamar Tahunan Pas ke-68 yang sedang berlangsung ketika ini akan digunakan sebagai platform untuk mengumpul sebanyak mungkin pandangan perwakilan parti mengenai penggunaan logo Pas dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, langkah itu penting untuk mengelakkan pengundi Pas dan Perikatan Nasional (PN) terkeliru dengan warna bendera yang digunakan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya lalu.

“Kita baru peringkat percubaan, Pilihan Raya Negeri (PRN) di Melaka dan Johor pakai simbol Bersatu, umum belum lagi.

“Kita masih mendengar pandangan akar umbi, ada yang mahu kekalkan simbol lama, ada yang mahu supaya pakai simbol baharu, ada timbul masalah, warna dan sebagainya.

“Kita akan dengar (cadangan logo) di Muktamar Pas,” katanya pada sidang media di Kompleks Pas Kedah, di sini, hari ini.

Semalam, Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berhasrat membawa cadangan untuk menggunakan logo sendiri di Terengganu, Kelantan dan Kedah pada PRU15 dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) dalam masa terdekat.

Sementara itu, rundingan 27 kerusi berisiko antara Pas dan UMNO masih berjalan ketika ini dan proses itu akan diteruskan sehingga kerusi kedua-dua parti itu tidak bertembung pada PRU15.

“Ada rundingan dan masih berjalan, peringkat akar umbi pun masih bercampur sekarang ini,

“Bincang kerusi belum selesai, sekarang ini masih dalam perundingan, rundingan terus berjalan dengan semua pihak.

“Peratus tak boleh letak sebab peratus itu macam suhu, dia naik turun. Politik ini ada fleksibel naik turun,” jelasnya.

Abdul Hadi tidak menolak kemungkinan untuk bersama parti politik lain selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) termasuk sekutunya dalam Muafakat Nasional (MN).

“Dalam politik tak ada mustahil kerana politik dinamik, boleh berlaku macam-macam,” katanya.

Ahli Parlimen Marang itu turut menasihatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak membubarkan Parlimen tanpa berunding dengan Pas dan PN.

“Mengikut Perlembagaan, yang boleh meletakkan (bubar) ialah Kabinet. Kabinet ini bukan majoriti UMNO, (tetapi) majoriti PN dalam Kabinet ini termasuk parti-parti lain seperti parti Sarawak.

“Jadi Perdana Menteri tidak boleh sembarangan nak buat membubarkan Parlimen,” katanya. – MalaysiaGazette