ALOR SETAR – Muktamar Tahunan Pas ke-68 yang membuka tirainya di Kota Sarang Semut, di sini, menyaksikan kemunculan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memberikan sokongan kepada rakan sekutunya, hari ini.
Muhyiddin yang mengenakan baju Melayu serba biru dan bersongkok kelihatan duduk di atas pentas utama bersebelahan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Timbalan Presiden, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Naib Presiden, Datuk Idris Ahmad.
Turut hadir, Presiden Gerakan, Datuk Dominic Lau Hoe Chai; Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob; Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Sebelum itu, Abdul Hadi diiringi Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Pesuruhjaya Pas Kedah, Ahmad Saad Yahaya menerima tabik hormat sebelum memeriksa perbarisan Jabatan Amal Malaysia di pekarangan Kompleks Pas Kedah.
Terdahulu, Abdul Hadi yang menaiki kenderaan Vellfire berwarna hitam diiringi motosikal berkuasa besar dari Alternative Riding Club (ARC) memasuki pekarangan Kompleks Pas Kedah kira-kira jam 8.40 pagi tadi.
Muktamar Tahunan Pas ini selama dua hari bermula hari ini adalah yang terakhir sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Seramai 1,300 perwakilan dari 197 kawasan dari seluruh negara mengambil bahagian dalam mesyuarat tahunan itu kali ini. – MalaysiaGazette