Antara perwakilan yang hadir ke pembukaan Muktamar Tahunan Pas ke-68 di Kompleks Pas Kedah Kota Sarang Semut, Alor Setar, Kedah. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 03SEPTEMBER 2022

ALOR SETAR – Pas Pulau Pinang telah merintis jalan perpaduan ummah dengan UMNO bermula Ogos lalu bagi memastikan Pakatan Harapan (PH) dapat ditumbangkan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Perwakilan Pas Pulau Pinang, Omar Hassan berkata, satu pertemuan telah diadakan oleh kepimpinan tertinggi kedua-dua parti itu bulan lalu.

Omar Hassan

Menurut beliau, Pas Pulau Pinang akan memastikan tidak berlaku pertembungan antara parti itu dengan UMNO atau pertandingan tiga penjuru dalam PRU-15 di negeri itu.

“Kita telah meneroka persefahaman ini pada bulan Ogos. Disaksikan oleh Naib Presiden dalam majlis makan malam Pas dan UMNO yang bersatu dalam satu dewan dalam suasana yang harmoni.

“Di mana naib-naib presiden dalam ucapan yang menyentuh perasaan menjaga Islam memerlukan penyatuan ummah.

“Insya-Allah kita akan mantapkan perhubungan antara Pas, UMNO dan Bersatu untuk menentukan bahawa dalam pilihan raya ke-15 kita tidak akan bertembung satu lawan satu. Dan musuh utama kita ialah DAP dan sekutu-sekutu,” kata Omar.

Katanya, bukan mudah untuk mencapai kesefahaman antara parti yang terbabit dan memerlukan usaha yang berlipat ganda.

Beliau berkata demikian dalam usul terima kasih dan perbahasan Ucapan Dasar Presiden sempena Muktamar Tahunan Pas ke-68 hari ini.

Omar mendakwa penduduk di Pulau Pinang ketika ini berada dalam keadaan tertekan.

Beliau juga mendakwa kerajaan negeri seperti membutakan mata dan memekakkan telinga tidak berlaku ke atas penduduk yang terpaksa meninggalkan rumah dan kampung halaman sendiri atas nama pembangunan.

“Semua rakyat tahu bagaimana rakyat di Pulau Pinang Islam atau bukan menadah tangan mengharapkan bantuan daripada pihak pemerintah untuk menyelesaikan masalah rumah.

“Ada di antaranya bermalam di bawah jambatan, di kaki lima komtar kerana tiada tempat berteduh. Sedangkan fail permohonan bertimbun-timbun untuk kerajaan membina rumah mampu milik untuk mereka,” kata Omar.

Menurut beliau, rumah yang ada sekarang tidak mampu dibeli oleh penduduk kerana berharga terlalu mahal. – MalaysiaGazette