Ismail Sabri Yaakob

SHAH ALAM – Kerajaan bersetuju memberi peranti kepada semua penerima Program PerantiSiswa Keluarga Malaysia tanpa perlu memulangkannya semula.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pemberian itu bertujuan menghargai penerima PerantiSiswa dalam kalangan pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) B40 dan menjadi pemangkin untuk mereka belajar bersungguh-sunguh sehingga mendapat keputusan cemerlang.

“Jadi tak perlu pinjam atau pulang balik, kerajaan beri terus kepada penerima-penerima,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada majlis Pelancaran Inisatif PerantiSiswa Keluarga Malaysia.

Hadir pada majlis Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM), Tan Sri Annuar Musa; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar.

Selain itu Ismail berkata, inisiatif ini merupakan usaha kerajaan untuk  memastikan lebih ramai golongan pelajar memperoleh akses internet untuk pembelajaran talian dari rumah tanpa kekangan data.

Jelasnya, keputusan berkenaan dibuat selepas Annuar menerima cadangan tersebut daripada wakil Majlis Perwakilan Pelajar pada 15 Ogos lalu.

“Umum mengetahui bahawa Inisiatif PerantiSiswa ini diberikan secara Konsep Guna Pakai (KGP) di mana mahasiswa perlu serahkan semula peranti setelah tamat pengajian sebelum ini,” tambah Ismail.

Menerusi program itu, pelajar IPT dari golongan B40 akan menerima sebuah peranti berbentuk tablet, yang boleh dimanfaatkan sepanjang proses pembelajaran sehingga mereka menamatkan pengajian.

Dalam masa yang sama Perdana Menteri berkata, kerajaan bersetuju memanjangkan tempoh pendaftaran Pakej Remaja Keluarga Malaysia.

“Pakej prabayar mampu milik khusus untuk golongan remaja dan pelajar termasuk pelajar pascasiswazah ini, telah diperkenalkan bermula bulan Oktober 2021 pada asalnya dijadual akan tamat pada bulan Oktober tahun ini.

“Keputusan pemanjangan tempoh ini diharapkan memberi peluang kepada lebih ramai remaja dan pelajar untuk melanggan Pakej Remaja Keluarga Malaysia yang ditawarkan oleh penyedia perkhidmatan mudah alih,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengumumkan keputusan kerajaan untuk meluaskan lagi penganjuran Program Jualan Keluarga Malaysia ke kampus-kampus pengajian tinggi demi  memastikan kebajikan mahasiswa terpelihara.

“Penganjuran Program Jualan Keluarga Malaysia di kampus dapat mengurangkan beban mahasiswa terhadap tekanan harga barangan yang tinggi,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast