Foto: FB Gotabaya Rajapaksa
COLOMBO – Bekas Presiden Sri Lanka, Gotabaya Rajapaksa kembali ke Sri Lanka dengan menaiki pesawat Singapore Airlines selepas melarikan diri dari negara itu pada Julai lalu.

Rajapaksa akan tinggal di sebuah banglo milik kerajaan di Colombo dengan kawalan ketat dilaksanakan di kawasan tersebut, lapor Daily Mirror.

Beberapa menteri tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Bandaranaike bani mengalu-alukan kepulangan bekas Presiden tersebut.

Rajapaksa meletak jawatan pada Julai lalu ketika protes secara besaran-besaran mendesak beliau mengundurkan diri diadakan ketika Sri Lanka bergelut dengan krisis ekonomi terburuk.

Berikutan itu, beliau melarikan diri ke Maldives dengan menggunakan pesawat tentera dan kemudian memasuki Singapura dengan menggunakan visa perubatan yang mana ia dilanjutkan sebanyak dua kali.

Ketika kerajaan Singapura tidak melanjutkan visa itu untuk kali ketiga, bekas Presiden itu dan isteri meninggalkan republik tersebut menuju ke Thailand dan beliau dinasihatkan kekal dalam hotel atas sebab keselamatan.

Berikutan pergerakan yang terhad, Rajapaksa memutuskan untuk pulang ke Sri lanka dan kekal di negara itu sehingga permohonan ke Amerika Syarikat (AS) lulus.

Beliau diberikan semua keistimewaan yang diperuntukkan kepada bekas Presiden termasuk peruntukan keselamatan tambahan. – Agensi