ALOR SETAR – Hasrat UMNO untuk bertanding secara solo dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang disuarakan Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam diharapkan hanya pendirian parti dan tidak mewakili lebih 3 juta ahlinya.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang memberi gambaran kenyataan Ahmad Zahid itu hanya pendirian parti sedangkan ahli-ahli UMNO dipercayai menaruh harapan kepada kerjasama dengan Pas.
“Saya harap itu kenyataan pendirian UMNO, bukan ahli-ahli UMNO, bukan akar umbi UMNO, dan bukan semua kira UMNO,” katanya pada sidang media di Kompleks Pas Kedah, di sini, hari ini.
Semalam, Ahmad Zahid dalam kenyataannya menegaskan, UMNO konsisten dengan keputusan untuk bergerak solo meskipun Pas mahu mempertahankan Muafakat Nasional (MN) yang ditubuhkan kedua-dua oleh parti terbesar Melayu itu.
Ahli Parlimen Bagan Datoh itu berkata, hal ini kerana sikap Pas sendiri yang dilihat ‘mandi beberapa kolam’ untuk bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Abdul Hadi juga membidas kenyataan Ahmad Zahid apabila mengatakan kerjasama Pas dengan UMNO dalam MN sebagai dangkal sedangkan pandangan itu tidak mewakili semua peringkat parti Melayu tersebut.
“UMNO ini bukan Presiden UMNO sahaja, UMNO adalah satu parti yang ada majlis tertinggi dia, naib-naib presiden dia, ada negeri dan bahagian-bahagian.
“UMNO ini bukan presiden dia sahaja,” katanya. – MalaysiaGazette