Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (tengah) bergambar bersama Juara Keseluruhan oleh Tabika Kemas Parlimen Batu selepas merasmikan penutup Hari Potensi Kemas dan Sambutan Hari Kebangsaan Tabika Kemas Wilayah Persekutuan 2022 di Sekolah Sultan Alam Shah, Putrajaya. Foto MUHD NA'IM, 03 SEPTEMBER 2022.

PUTRAJAYA – Kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa pihaknya masih meneruskan rundingan dengan UMNO tanpa penglibatan presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi adalah suatu kenyataan yang pelik.

Bendahari UMNO, Tengku Adnan Tengku Mansor berkata,  Abdul Hadi mungkin berada dalam alam mimpi kerana hanya pemimpin lima teratas UMNO yang boleh mengadakan sebarang rundingan kerjasama dengan mana-mana parti untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU-15) tidak lama lagi.

“Saya tidak faham Hadi (Datuk Seri Abdul) ini, dia kalau tak melibatkan presiden, Pas nak runding dengan siapa?

“Rundingan dengan hantu? Atau pun nak rundingan dengan bayang-bayang dia sendiri, dia mesti berunding sekurang-kurangnya dengan presiden atau timbalan presiden ataupun top five di mana naib-naib presiden termasuk Perdana Menteri.

“Sekurang-kurangnya bahagian bawah seperti saya mahu pun setiausaha agung, bendahari dan ketua penerangan,” katanya yang dikenali juga sebagai Ku Nan kepada MalaysiaGazette semalam.

Tengku Adnan yang juga bekas Setiausaha Agung UMNO berkata demikian mengulas kenyataan hari semalam di Muktamar Pas bahawa parti itu mengesahkan masih menjalankan rundingan walaupun pemimpin tertinggi parti sudah beberapa kali menegaskan tiada kerjasama dengan Pas.

Bagaimanapun, Abdul Hadi menegaskan, rundingan tersebut tidak melibatkan Ahmad Zahid.

Jelas Tengku Adnan lagi, kenyataan Abdul Hadi mengenai rundingan itu tidak tepat kerana banyak pemimpin utama parti sudah mengeluarkan kenyataan tiada rundingan dengan pihaknya.

“Bila orang yang tidak ada jawatan dalam parti mereka berunding ia akan jadi carca marba jadi kita harap kalau mereka (Pas) nak berunding maka berunding dengan pihak yang berkewajipan. Saya ingat dia dalam alam mimpi,” katanya lagi. – MalaysiaGazette