Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang diiringi Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan membuat gimik pelancaran program Penghijauan Malaysia Kempen Penanaman 100 juta pokok bersama Komuniti Kota Sarang Semut pada Muktamar Tahunan Pas ke-68 di Kompleks Pas Kedah Kota Sarang Semut, Alor Setar, Kedah. Foto MOHD ADZLAN, 04 SEPTEMBER 2022.

ALOR SETAR – Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menegaskan jemputan untuk menghadiri Muktamar Tahunan Pas Ke-68 kepada rakan Muafakat Nasional (MN) iaitu UMNO, MCA serta MIC telah dihantar sebelum 20 Ogos lalu.

Jelas beliau, surat undangan itu dihantar secara rasmi di ibu pejabat tiga parti berkenaan selain satu jemputan secara maya dihantar menerusi aplikasi WhatsApp.

“Saya ini peguam tahu, jadi saya cakap ada bukti. Saya telah menghantar jemputan secara maya kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong serta Presiden MIC, Tan Sri A. Vigneswaran sebelum 20 Ogos susulan maklum balas jemputan harus dibuat sebelum tarikh itu.

“Saya telah memastikan jemputan itu dikemukakan kepada presiden parti masing-masing serta ahli majlis tertinggi mereka tapi kita tak ada masalah kalau tak boleh hadir, nak buat macam mana.

“Jemputan itu menggambarkan keterbukaan kita menuju ke arah kestabilan negara dari sudut politik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan Program Penghijauan Malaysia Kempen Penanaman Pokok Bersama Komuniti Kota Sarang Semut di Kompleks Pas Kedah di hari ini.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai dakwaan UMNO Kedah tidak menerima jemputan ke Muktamar Pas, Takiyuddin berkata, jemputan kepada UMNO Kedah tidak melalui pejabatnya.

“Saya difahamkan jemputan kepada UMNO Kedah telah dihantar tapi bukan melalui pejabat saya, ia melalui Pas Kedah,” jelasnya.

MalaysiaGazette semalam melaporkan, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom mendakwa Pas tidak menjemput UMNO negeri menghadiri Muktamar Tahunan Pas ke-68.

Menurut Jamil Khir, kenyataan Takiyuddin bahawa parti itu telah menghantar jemputan kepada kepimpinan UMNO sebagai mengelirukan.

“Kenyataan ini sebenarnya adalah tidak benar dan dikhuatiri akan mengelirukan pembaca di luar sana,” katanya dalam satu kenyataan. – MalaysiaGazette