Dr Johan Kamal Hamidon (tengah). Foto Facebook Selangor FC.

KUALA LUMPUR – Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon tidak berpuas hati dengan pengadil perlawanan Zulkarnain Zakaria yang menghadiahkan sepakan penalti kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya malam tadi.

Menerusi satu video tular di laman sosial, Johan bertemu Zulkarnain di tempat letak kereta selepas perlawanan itu dan mempersoalkan tindakan  pengadil tersebut

“Jangan lupa ingat akhirat abang. Jangan aniaya orang lain abang, ingat ada kad kuning kad merah kuat dah abang.

“Ingat anak bini kat rumah tu, tangungjawab itu besar,” itu antara kata-katanya yang boleh didengari dalam video berdurasi 35 saat itu.

Tindakan Johan itu pastinya meletakkan dirinya dalam situasi sukar apabila boleh dikenakan hukuman oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kerana tidak menggunakan saluran yang betul mempersoalkan kredibiliti pengadil perlawanan.

Dalam aksi itu, Selangor dan JDT hanya berpuas hati memungut satu mata selepas kedua-dua pasukan seri 1-1, dengan gol pelawat diraih menerusi tendangan penalti yang diberikan Zulkarnain kepada JDT di babak pertama.

Ia kemudian disempurnakan Bergson da Silva di minit ke-33 untuk mendahului skuad Red Giants, sebelum anak didik Nidzam Jamil bangkit di babak kedua dengan ledakan Herlison Caion di minit 65.

Namun sepakan penalti yang dihadiahkan Zulkarnain dibantah pemain-pemain Selangor yang menyifatkan ia tidak seharusnya diberikan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast