Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berucap pada Muktamar Tahunan Pas ke-68 di Kompleks Pas Kedah Kota Sarang Semut, Alor Setar, Kedah. Foto MOHD ADZLAN, 04 SEPTEMBER 2022.

ALOR SETAR – Kekuatan Pas untuk memenangi 80 kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) bukan terletak kepada kuatnya laungan takbir mahu pun jumlah kehadiran dalam setiap ceramah politiknya.

Timbalan presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sebaliknya kekuatan Pas perlu diukur melalui Indeks Prestasi Utama (KPI) dan roadmap bagi memenangi kerusi sasaran.

“Kekuatan (Pas) mesti diukur, ada KPI yang mesti diukur, kekuatan bukan terletak kepada takbir kuat, kekuatan tak terletak kepada ramai orang mari dengar ceramah kita.

“Pemerkasaan akan memantau 80 kerusi Parlimen yang berpotensi untuk Pas tandingi.

“Insya-Allah kita akan pastikan gerak kerja itu bersambung walaupun selepas PRU-14 sebagaimana sasaran kita untuk mengetuai kerajaan pada masa hadapan,” katanya berucap ketika sesi penggulungan ucapan dasar Presiden Pas dalam Muktamar Tahunan Pas ke-68 di Kompleks Pas Kedah hari ini.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim berkata, Pas perlu mempunyai perancangan 100 tahun bagi memenangi kerusi termasuk Dewan Undangan Negeri.

“Kita nak lihat hala tuju parti dengan lebih berstruktur supaya apa sahaja tindakan, kita kena ada pelan strategik kita. Kita mesti ada roadmap ke arah itu. DUN dalam kawasan bukan hanya bertanding sahaja, bila kita nak capai kemenangan di DUN tersebut dan kawasan mesti pantau DUN-DUN.

“Negeri mesti buat pemantauan langsung kepada Parlimen yang kita letak sasaran untuk capai kemenangan. Kita tak boleh lagi secara general,” katanya lagi. – MalaysiaGazette