Faiz Fadzil

KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (Amanah) menyifatkan kenyataan Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Abdullah konon pemimpin parti itu mampu menjadi perdana menteri sebagai angan-angan Mat Jenin.

Ahli Jawatankuasa Amanah, Faiz Fadzil berkata, jika tugas perdana menteri semudah Pas anggapkan, kenapa kestabilan politik dalam negara tidak dapat dikekalkan walaupun parti itu berada dalam kerajaan hari ini.

Jelas beliau, sebagai rakan Kabinet bersama, sudah pasti Pas mampu untuk menasihati Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagaimana cara menjadi perdana menteri yang berjaya.

“Hakikat hari ini, Ismail Sabri gagal menangani banyak masalah politik, negara dan rakyat sehinggakan beliau terpaksa mengarahkan pegawai kerajaan untuk menjawab pelbagai isu yang dibangkitkan pembangkang.

“Bergantung harap kepada pegawai kerajaan adalah satu petunjuk kelemahan perdana menteri, jauh sekali untuk bergantung harap kepada Pas,” katanya hari ini.

Beliau berkata, kenyataan Timbalan Menteri Besar Kelantan itu kononnya seorang perdana menteri mempunyai wang dan cuma perlu tahu cara berbelanja juga amat dangkal dari realiti semasa.

Ini kerana, katanya, kerajaan hari ini tidak mampu mengekalkan subsidi barang asas dan bercadang memperkenalkan semula GST menunjukkan kerajaan tidak ada wang yang cukup.

“Bukankah ini satu kelemahan perdana menteri sebagai peneraju kerajaan? Untuk pengetahuan Mohd Amar, wang kerajaan tidak turun dari langit tetapi perlu dijana daripada hasil cukai dan sebagainya bila mana ekonomi dan pelaburan meningkat baik.

“Di samping itu, dengan kemerosotan indeks rasuah, ia akan terus memberi kesan kepada keyakinan pelabur yang sudah pasti menjejaskan hasil kerajaan dan kegagalan untuk berjimat terutama menyara saiz kabinet gergasi hari ini juga turut menjejaskan hasil kerajaan.

“Laporan Ketua Audit Negara mengenai ketirisan perbelanjaan kerajaan juga menjejaskan hasil negara seperti ketirisan dalam Program Pembasmian Kemiskinan Bandar,” katanya.

Faiz berkata, program yang bernilai RM201.94 juta itu didapati alami pembayaran tidak teratur sebanyak RM750,000 dan kerugian wang awam RM620,000.

Jelas beliau lagi, kekurangan hasil negara akibat kelemahan tadbir urus itu dan kelemahan ekonomi adalah satu kegagalan perdana menteri.

“Di mana mudahnya menjadi perdana menteri sekiranya tiada sifat integriti dan kompetensi pada kerajaan UMNO-Pas-PPBM hari ini?

“Kegagalan perdana menteri juga satu kegagalan Pas yang berada dalam kerajaan. Bagaimana Pas mampu untuk menjadi perdana menteri?

“Jika diukur pula kemampuan kerajaan Pas di peringkat negeri hari ini lebih menyedihkan,” kata beliau.

Malah, kata beliau, ketika Pakatan Harapan (PH) menerajui kerajaan pusat, Kelantan dibayar wang royalti minyak sebanyak RM400 juta.

Ini bermakna, kerajaan Pas Kelantan terpaksa bergantung kepada kerajaan pusat untuk mendapatkan wang kerana hasil kerajaan negeri begitu rendah.

Katanya, jika menjadi kerajaan mudah mendapat wang, kenapa sehingga sekarang masalah bekalan air di Kelantan tidak selesai.

“Masalah ini berlarutan kerana kerajaan negeri tidak ada wang untuk menaiktaraf infrastruktur awam ini. Justeru, Mohd Amar perlu sedar menjadi perdana menteri tidak semudah angan-angan Mat Jenin.

“Kegagalan Pas di Kelantan juga satu ukuran bagi rakyat menilai ketidakmampuan mereka untuk menerajui kerajaan pusat,” katanya.

Menurut Faiz lagi, meletakkan kepercayaan kepada Pas mengundang sebuah lagi kerajaan gagal.

“Sungguh pun begitu, walaupun tidak salah bagi Mohd Amar berangan-angan, beliau dicabar untuk menamakan siapakah calon perdana menteri dari Pas,” katanya. – MalaysiaGazette