Bantuan Wang Ihsan flood victims
Mohd Zuki Ali

KUALA LUMPUR – Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Hal Ehwal Islam Kebangsaan, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI).

Jawatankuasa itu telah dinaik taraf dari Persidangan Ketua-Ketua Jabatan / Majlis Agama Islam Seluruh Malaysia (PKJ) yang sebelum ini dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Menurut Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Hakimah Mohd Yusoff, mesyuarat Majlis Raja Raja (MRR) Kali Ke-259 pada 30 Jun lalu telah berkenan untuk menaik taraf jawatankuasa berkenaan dan Mohd Zuki diperkenan sebagai Pengerusi secara Ex-Officio berkuatkuasa mulai tarikh itu.

Katanya, perkhidmatan Mohd Zuki sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Hal Ehwal Islam Kebangsaan MKI berakhir sehingga 29 Jun 2024.

“Watikah pelantikan beliau telah disempurnakan oleh Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj selaku Pengerusi MKI pada Khamis, 1 September lalu.

“Keanggotaan jawatankuasa ini terdiri daripada wakil Majlis Agama Islam Negeri-Negeri setelah mendapat perkenan raja pemerintah di negeri tersebut, Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri dan dua ahli yang dilantik MKI dengan perkenan MRR,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Hakimah, jawatankuasa yang diurusetiakan JAKIM itu ditubuhkan bagi menyediakan platform untuk membincangkan perkara dasar berkaitan pengurusan hal ehwal Islam di Malaysia.

Antaranya kata beliau, bagi memastikan pengurusan hal ehwal Islam di Malaysia pada tahap terbaik selari dengan undang-undang, dasar dan peraturan yang berkuatkuasa selaras dengan agama Islam sebagai Agama Persekutuan.

“Ia juga bertindak sebagai kumpulan pemikir yang menentukan dasar berkaitan tadbir urus terbaik hal ehwal Islam di Malaysia serta bertanggungjawab menyelaras serta mewujudkan keseragaman dalam pentadbiran dan pelaksanaan hal ehwal agama Islam,” katanya. – MalaysiaGazette