Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Abd Razak Mohd Yusoff.

KUANTAN – Polis berjaya menghidu kegiatan menyeleweng diesel subsidi dengan merampas sejumlah 19,400 liter diesel bernilai RM41,700 dan menahan 16 individu dalam operasi di kawasan Perindustrian Semambu di sini semalam.

Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Abd Razak Mohd Yusoff berkata, kesemua yang ditahan merupakan lelaki warga tempatan berusia antara 18 sehingga 65 tahun.

Ia kejayaan pihaknya  hasil risikan selama tujuh hari.

“Sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Batalion 7 PGA pada mulanya menahan dua lelaki di jalan perindustrian Semambu di sini.

“Hasil pemeriksaan pada kenderaan suspek telah menjumpai dua tangki berkapasiti 1,800 liter minyak diesel manakala suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen untuk memiliki, menyimpan dan membawa barang kawalan,” katanya.

Kemudian tambah Abd Razak, serbuan dilakukan semalam apabila dipandu arah oleh kedua-dua suspek tersebut telah menemukan hasil serbuan di sebuah stor di Jentec Sdn Bhd di kawasan industri Semambu dan menahan 14 lagi individu terbabit.

Jelas Razak, hasil pemeriksaan lanjut bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Pahang telah menjumpai 18 tangki penyimpanan dengan kapasiti keseluruhan 16,200 liter.

Selain itu, pihak berkuasa turut merampas 16 tangki penyimpanan yang berkapasiti sebanyak 600 liter setiap satu, tiga lori dan enam kereta digunakan suspek.

“Pihak berkuasa turut merampas dua set pam penyedut minyak, hos, satu unit generator elektrik dan 16 telefon bimbit, dengan jumlah keseluruhan dianggarkan RM582,550” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan tanpa lesen.

Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM 1juta sekiranya bukan perbadanan dan penjara tiga tahun bagi kesalahan pertama dan tidak kurang RM3 juta denda sekiranya perbadanan. – MalaysiaGazette