Presiden Putra, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali menyampaikan ucapan alu-aluan, manakala Aziz (kanan) merasmikan persidangan Putra Bahagian Gombak hari ini.

GOMBAK – Putra Bahagian Gombak meluluskan lima usul yang menuntut kerajaan melaksanakannya demi hak orang Melayu dan keselamatan negara.

Empat usul itu ialah kembalikan semula hak tanah rizab Melayu, wujudkan semula Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk semua kes penyelewengan berprofil tinggi.

Dua usul lagi ialah memohon kerajaan membantu rakyat dari segi pertumbuhan ekonomi selepas negara dilanda pandemik Covid-19 dan minta kerajaan mempermudahkan proses pinjaman membeli rumah mampu milik untuk golongan asnaf, fakir miskin, B40 dan M40.

Usul itu diluluskan dalam Persidangan Tahunan Putra Bahagian Gombak Kali Ke-2 yang berlangsung di Jalan Kerdas 4,  Gombak Setia petang ini.

Turut hadir, Presiden Putra, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali.

Persidangan itu dirasmikan Naib Presiden Putra, Datuk Dr. Aziz Jamaludin dan dihadiri 158 perwakilan termasuk 25 Ahli Jawatankuasa Bahagian dan masing-masing 14 Ahli Jawatankuasa Wira, Wiranita dan Wirawati.

Mengenai usul hak tanah rizab Melayu, Putra Bahagian itu membuat tuntutan berkenaan kerana tanah rizab Melayu untuk kaum bumiputera sekarang telah berkurangan sehingga 12 peratus di seluruh negara.

Ini termasuk Selangor apabila banyak tanah di Gombak yang dahulunya tanah simpanan telah ditukar dan dipindah milik kepada bukan bumiputera.

Kembalikan Akta ISA pula adalah untuk menjamin keselamatan dan ketenteraman awam serta mengambil tindakan sewajarnya kepada pihak yang tidak bertanggungjawab mengganggu gugat keharmonian negara.

Di Selangor pernah berlaku kes yang mengganggu gugar keharmonian negara melibatkan individu atau yang berkumpulan menghina serta merendahkan martabat Melayu dan agama Islam.

Begitu juga usul menubuhkan RCI, kerana di Selangor juga banyak berlaku kes salah laku penguatkuasaan melibatkan pegawai kerajaan berpangkat tinggi dalam kes rasuah.

Mereka ini mempunyai hubung kait dengan ahli politik dan tindakan ini merupakan usaha mensabotaj ekonomi yang memberi kesan kepada rakyat umumnya dan menyebabkan keberhutangan tanpa jangkaan yang sengaja dibuat.

Mengenai usul keempat iaitu mohon kerajaan membantu rakyat dari segi pertumbuhan ekonomi selepas negara dilanda pandemik Covid-19 berikutan ramai peniaga terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

Justeru, Putra Bahagian Gombak menggesa kerajaan negeri agar mempermudahkan pinjaman mikro kepada mereka supaya dapat memulihkan kembali perniagaan yang terjejas sebelum ini.

Bagi usul kelima iaitu mohon kerajaan membantu golongan asnaf fakir miskin, B40 dan M40 kerana di Selangor dan di mana-mana negeri termasuk Kelantan menawarkan harga rumah terlalu mahal dan sukar untuk dimiliki. – MalaysiaGazette