Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari ketika berucap pada Muktamar Tahunan Pas ke-68 di Kompleks Pas Kedah Kota Sarang Semut, Alor Setar, Kedah. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 04 SEPTEMBER 2022.

ALOR SETAR – Dewan Pemuda Pas tidak pernah menuntut untuk menjadi calon dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) meskipun pimpinan tertinggi ada menyebut keperluan sehingga 30 peratus wajah baharu bagi mewakili parti itu.

Ketuanya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, pihaknya juga tidak pernah meletakkan soal calon itu dalam agenda Muktamar Tahunan Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM) ke-63 sejak Khamis lalu.

“Timbalan Presiden, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyatakan dalam ucapan perasmian bahawa parti memperuntukkan 30 peratus untuk calon muda.

“Kami nyatakan alhamdulillah tetapi soal nak menuntut calon pemuda, ia langsung tiada dalam agenda kami.

“Cuma dalam dapatan di bawah, orang mahu melihat bahawa parti perlukan wajah yang segar, lebih segar untuk ditampilkan terutamanya dalam nak raih undi daripada anak muda,” katanya berucap ucapan penggulungan ucapan dasar Presiden Pas sempena Muktamar Tahunan Pas ke-68 di Kompleks Pas Kedah di sini, hari ini.

Tambahnya, Dewan Pemuda Pas juga mencadangkan parti Islam itu untuk menampilkan wajah-wajah segar dan baharu bagi mewakili parti dalam pilihan raya akan datang.

“Kami cadangkan supaya wajah-wajah yang segar lebih ramai untuk kita tampilkan. Kalau perlu daripada Dewan Muslimat Pas mahupun Dewan Ulamak Pas boleh diketengahkan.

“Apa yang penting parti perlu diwajahkan dengan wajah segar, bukan sebab wajah sedia ada tidak patut ditampilkan, tetapi gabungan dan adunan itu yang akan membentuk satu wajah persepsi baharu untuk mentadbir negara,” katanya.

Sementara itu, tindakan Dewan Pemuda Pas mengeluarkan kenyataan balas bukan mahu melanggar polisi parti sebaliknya bertujuan untuk mempertahankan parti Islam itu apabila diserang musuh politik.

“Sudah tentu dalam keadaan parti diserang, batang tubuh pimpinan diserang, takkan kita nak duduk senyap terutamanya pemuda.

“Kita tahu bahawa semua hati terluka, bila pimpinan dilabel tiga jahanam, bila ada orang nak gugat kerajaan Kelantan dan Terengganu, semua orang terluka.

“Tapi biarkanlah kami anak bongsu turun ke tanah untuk melemparkan batu ke rumah jiran,biasalah kami anak bongsu, bukan untuk tujuan lain tetapi untuk mempertahankan parti,” katanya lagi. – MalaysiaGazette