Khairy Rembau Mohamad Hasan
Mohamad Hasan bersalaman dengan Khairy Jamaluddin.

HASRAT Datuk Seri Mohamad Hasan mahu bertanding di kerusi Parlimen Rembau bukan baru diketahui semalam.

Boleh dikatakan, Khairy Jamaluddin yang menyandang kerusi tersebut sejak tiga penggal lalu mempunyai masa yang lebih daripada mencukupi untuk membuat persediaan bertanding di kawasan lain.

Menurut sumber dalaman UMNO, Mohamad telah menyatakan perkara tersebut secara peribadi kepada Khairy selepas beliau menang bertanding jawatan Timbalan Presiden UMNO pada 2018.

Dua tahun kemudian, UMNO Cawangan Sri Kota dalam mesyuarat agung tahunan pada 8 Ogos 2020 secara sebulat suara meluluskan usul tergempar mencadangkan agar Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau dicalonkan untuk bertanding mempertahankan kerusi Barisan Nasional (BN) di Parlimen Rembau pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Usul yang sama turut diluluskan pada mesyuarat agung tahunan cawangan-cawangan lain dalam UMNO Bahagian Rembau. Malah, UMNO Cawangan Sri Kota tetap konsisten meluluskan usul tersebut dalam mesyuarat pada 2021 dan semalam.

Mohamad yang lebih mesra dengan panggilan Tok Mat ketika berucap dalam majlis ramah mesra selepas mesyuarat agung tahunan Cawangan Sri Kota pada 2020 menyatakan BN akan meletakkan Khairy di kawasan yang ‘baik’ juga dan berdekatan dengan Rembau.

Berdasarkan gambaran yang diberikan oleh Timbalan Pengerusi BN itu, timbul spekulasi Khairy yang juga Menteri Kesihatan mungkin dicalonkan untuk bertanding di Tampin atau Port Dickson. Kedua-dua kawasan Parlimen tersebut memang bersempadan dengan Rembau. Tidak mungkin Rasah atau Seremban yang merupakan kubu kuat DAP.

Terdapat juga desas-desus berhubung kemungkinan Khairy bertanding di Putrajaya. Namun, khabar angin itu berlalu begitu sahaja tanpa ada perkembangan yang konkrit. Difahamkan, Khairy turut diberi laluan untuk bertanding mana-mana kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Rembau tetapi tiada jaminan beliau bakal menjadi Menteri Besar jika BN kembali mentadbir Negeri Sembilan.

Sejak dari isyarat awal yang diberikan Mohamad pada 2018, Khairy mempunyai masa lebih empat tahun untuk ‘mendarat’ di kawasan Parlimen baharu. Sebagai pemimpin politik muda yang popular, beliau pasti tiada masalah untuk memperkenalkan dirinya di ‘telapak’ baharu.

Walaupun akar umbi UMNO Bahagian Rembau menyokong hasrat Tok Mat bertanding kerusi Parlimen, ia tidak bermakna mereka tidak menghargai jasa dan sumbangan Khairy sejak 14 tahun lalu.

Orang Rembau masih tebal dengan budi bahasa dan budaya menghormati pemimpin. Memang ada sedikit isu yang dibangkitkan akar umbi namun semuanya dapat diselesaikan dengan baik secara adik beradik.

Cuma mereka percaya sudah tiba masanya Tok Mat yang juga Ketua UMNO Bahagian Rembau beraksi di peringkat Pusat pula. Beliau mempunyai rekod prestasi yang cemerlang semasa menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan selama empat penggal mulai 2004.

Negeri Sembilan yang sebelum itu agak ketinggalan jika dibandingkan dengan Melaka yang berjiran dengannya mula mengalami pembangunan pesat di bawah sentuhan Mohamad.

Sudah tentu Rembau turut menerima kesan positif hasil limpahan kemakmuran Negeri Sembilan lebih-lebih lagi selepas Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Rembau dan Hospital Rembau mula beroperasi.

Selepas Tok Mat menjadi Timbalan Presiden UMNO, orang Rembau sedar bahawa beliau bukan milik mereka sahaja. Visi dan kebolehan Mohamad sewajarnya dikongsi dengan seluruh rakyat Malaysia sebaik sahaja BN kembali membentuk kerajaan Pusat selepas PRU-15.

Rugi kalau beliau masih kekal sebagai ADUN Rantau sahaja.

Berbalik kepada Khairy, beliau seharusnya melihat bertanding di kawasan Parlimen lain sebagai satu cabaran baharu bagi menguji keupayaannya selaku pemimpin pelapis UMNO dan BN.

Pokok pangkalnya terpulang kepada beliau sendiri.

Memandangkan Mohamad sudah istiqamah mahu bertanding di Rembau, mahu tidak mahu Khairy perlu merangka strategi berkempen di tempat baharu sekiranya dicalonkan oleh BN.

Seperti yang pernah dikatakan oleh seorang sahabat yang juga ahli biasa UMNO di Rembau: “Sudah lama sangat kita memikirkan tentang KJ, kali ini biarlah dia berfikir sendiri.” – MalaysiaGazette