Kamarul Zaman (tengah) ketika menziarahi Muhammad Fikri yang kehilangan dua anaknya dalam insiden kebakaran semalam di Sulaiman Menteri hari ini.

JOHOR BAHRU – Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat mengesahkan kematian dua beradik di Jalan Bunga Raya Besar, Kampung Dato Sulaiman Menteri semalam tidak melibatkan  elemen jenayah.

Sebaliknya ia berlaku berikutan kecuaian pemilik itu sendiri sehingga menyebabkan kebakaran.

“Saya nak nasihatkan terutama kepada penjaga supaya memastikan tahap keselamatan terutama barangan elektrik dalam keadaan selamat ketika anak-anak berada di rumah.

“Semua orang harus ambil pengajaran daripada apa yang berlaku semalam, tetapi kami polis tetap buat siasatan juga kerana ditakuti ada elemen jenayah boleh disiasat  tetapi kita percaya elemen itu tiada,“ katanya ketika melawat lokasi kejadian dan menyerahkan sumbangan kepada bapa mangsa di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Khaw Kok Chin.

Bagaimanapun polis juga akan membantu mempercepatkan proses bedah siasat dua kanak-kanak itu di Hospital Sultanah Aminah di sini hari ini.

Sementara itu, bapa mangsa Muhammad Fikri Abdul Mubian, 28, ketika ditemui  sedih dengan kejadian itu dia tidak menyangka dua anaknya itu hilang sekelip mata.

Ketika kejadian menurut beliau dia sedang bekerja.

“Waktu kejadian isteri ada beritahu anak-anak baru lepas mandi dan makan dan ketika itu dia (isteri) pergi buang sampah dan kejadian tidak sampai 15 minit berlaku.

“Memang tak boleh jangka dan waktu itu saya pun tidak boleh buat apa-apa.Saya reda ini semua memang dan saya  terima semuanya,” katanya.

Dia dan isteri yang masih trauma dengan kejadian itu akan  berpindah daripada kawasan berkenaan walaupun baru empat bulan menyewa di situ.

Semalam media melaporkan dua beradik itu Muhammad Zafran Muhammad Fikri, 3, dan Nurul Hawa Zafira Muhammad Fikri, 2 ditemui rentung dalam bilik tidur mereka. – MalaysiaGazette