GCR civil servants salary scheme CUEPACS
Adnan Mat

KUALA LUMPUR – Sebuah jabatan kerajaan didakwa gagal melunaskan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) untuk kakitangan bertaraf kontrak dan sementara dengan jumlah tunggakan caruman sebanyak RM32,151,063.

Tunggakan berkenaan merupakan caruman bagi tahun 2013 hingga 2020.

Perkara berkenaan didedahkan oleh Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Adnan Mat namun enggan mendedahkan nama jabatan tersebut.

Jelas beliau, tunggakan perlu disegerakan bagi mengelak kakitangan jabatan berkenaan berisiko tidak menerima perlindungan keselamatan sosial di bawah Skim Keilatan.

“Tunggakan dalam tempoh berkenaan perlu disegerakan pembayaran bagi mengelakkan kakitangan jabatan tersebut terjejas atau berisiko tidak menerima perlindungan keselamatan sosial khasnya di bawah Skim Keilatan kerana tidak memenuhi syarat caruman sepertimana yang dikehendaki di bawah Akta 4.

“Sebagai majikan, adalah menjadi kewajipan untuk memastikan setiap kakitangan kontrak dan sementara membuat caruma kepada Perkeso bagi membolehkan mereka menikmati perlindungan yang sewajarnya,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Adnan beliau menggesa supaya jabatan, agensi kerajaan dan pihak berkuasa tempatan (PBT) melunaskan Perkeso untuk kakitangan bertaraf kontrak.

Menurutnya, kegagalan mematuhi arahan merupakan satu kesalahan yang boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 94, Akta 4 serta Peraturan-peraturan (AM) Keselamatan Sosial Pekerja 1971 yang boleh membawa hukuman penjara selama dua tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-dua sekali.

Menurutnya, kerajaan melalui Perkeso di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969(Akta 4) telah meluaskan liputan perlindungan terhadap pekerja bertaraf kontrak dan sementara yang telah dikuatkuasakan terhadap semua Jabatan serta Agensi Kerajaan mulai 1 Jun 2013 melalui Pemberitahuan Keselamatan Sosial Pekerja P.U (B) 239 dan 240.

“Perluasan keselamatan sosial di bawah Skim Bencana Pekerjaan dan Skim Keliatan ini bertujuan untuk memberi perlindungan yang lebih baik kepada pekerja di sektor awam dan setara dengan pekerja sektor swasta di samping mengekalkan keharmonian dan kerjasama di antara kerajaan, majikan dan pekerja,” tambahnya.- MalaysiaGazette