ISTANBUL – Sekurang-kurangnya tujuh orang terbunuh selepas gempa bumi berukuran 6.8 pada skala Richter menggegarkan barat daya China petang Isnin.

Menurut Pusat Rangkaian Gempa Bumi China, gempa bumi melanda pada 12.52 tengah hari, waktu tempatan, berhampiran daerah Luding dengan kedalaman 16 kilometer (10 batu), lapor Agensi Anadolu.

Gegaran turut dirasai di kawasan sekitar daerah Luding, termasuk bandar Chengdu.

“Sesetengah mangsa masih terperangkap di bawah runtuhan,” menurut laporan itu.

Kerajaan China telah mengeluarkan respons kecemasan tahap-III, manakala operasi menyelamat dan bantuan besar-besaran sedang dilancarkan. – Bernama