Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari becakap kepada media selepas Program Sinergi Pendidikan Yayasan Selangor di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 05 SEPTEMBER 2022.

SHAH ALAM – Isu berbangkit mengenai cadangan jajaran baharu projek Transit Aliran Massa 3 (MRT3) yang didakwa akan dibina di Taman Kencana, Ampang, akan dibawa ke Majlis Tindakan Ekonomi.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, cadangan tersebut sepatutnya diajukan kepada kerajaan negeri terlebih dahulu.

“Perkara tersebut perlu dimeterai dengan kerajaan negeri sebab itu akan dipastikan jajarannya terlebih dahulu oleh kerajaan negeri kerana yang melibatkan tanah.

“Saya pasti perkara itu akan dibawa ke Majlis Tindakan Ekonomi untuk kita melihat jajaran dan kesannya dan masalahnya,” katanya selepas Program Sinergi Pendidikan Yayasan Selangor di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS), di sini, hari ini.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pertanian dan Perladangan dan Industri Asas Tani, Ir. Izham Hashim mendakwa kerajaan negeri tidak pernah menerima cadangan jajaran baharu projek MRT3 yang melibatkan kawasan Taman Kencana.

Beliau  ketika mengadakan pertemuan dengan penduduk Taman Kencana pada 24 Ogos lalu terkejut apabila mengetahui sebanyak 90 buah rumah akan terlibat dengan projek tersebut.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, kerajaan negeri mahu memastikan pembinaan MRT3 seimbang daripada aspek pembangunan dan penempatan.

“Kita pun nak pastikan MRT3 tidak terkeluar daripada keperluan penduduk, kita cuba seimbangkan di antara keperluan dan penempatan.

“Sudah pasti proses pengambilan akan mengambil masa dan melibatkan rundingan di antara kerajaan negeri dengan semua pihak tetapi mereka perlu bentangkan ke dalam Majlis Tindakan Ekonomi,” jelas beliau.

Sebelum ini, penduduk Taman Kencana menubuhkan jawatankuasa khas membantah cadangan jajaran baharu MRT3 berikutan lebih separuh daripada jumlah rumah di kawasan berkenaan terlibat dengan projek berkenaan. – MalaysiaGazette