bung moktar radin
Bung Moktar Radin

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin menafikan beliau terlantar sakit dan dirawat di hospital ketika ini.

Beliau tampil membuat penjelasan itu dalam hantaran Facebook miliknya malam tadi ekoran tular gambar dalam media sosial yang menunjukkan beliau terbaring di atas katil sambil dikunjungi Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Arifin.

Timbalan Ketua Menteri Sabah itu berharap semua rakan dan musuh politiknya agar tidak bimbang tentang keadaan dirinya.

“Saya masih kekal di posisi yang tenang dan masih sihat dalam perlindungan Allah.

“Saya akan turun ke Kota Belud pada 10 September ini untuk melancarkan program Gelombang Biru dan jentera pilihan raya Kota Belud dan Tuaran,” katanya.

Sementara itu, memetik laporan FMT, Setiausaha Akhbarnya, Jaafar Abdul Wahid menjelaskan, gambar yang tular itu diambil sekitar 2015 atau 2016 iaitu selepas Bung Moktar pulang daripada menjalani rawatan buah pinggang di China.

Beliau mendakwa, gambar itu sengaja ditularkan pihak tertentu bagi menjejaskan reputasi Bung Moktar.

“Hentikan perbuatan menyebar berita palsu ini,” jelasnya.

Bung Moktar yang juga bekas Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra sedang berdepan dua tuduhan menerima rasuah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast