Datuk Jaseni Maidinsa

GEORGE TOWN – Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man sepatutnya berusaha mendapatkan pampasan daripada Kerajaan Pusat untuk pemuliharaan Ulu Muda dan Sungai Muda daripada memaksa Pulau Pinang membayar kepada Kedah.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Datuk Ir Jaseni Maidinsa berkata, Tuan Ibrahim sebagai  menteri dan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) mempunyai akses kepada dana kerajaan.

Kata beliau, Pulau Pinang tiada kewajipan untuk membayar kepada Kedah kerana air mentah itu diabstrak dari bahagian Sungai Muda yang berada dalam wilayah negeri ini.

“Muka sauk Lahar Tiang PBAPP terletak di Seberang Perai, dan bukan di Kedah, PBAPP membayar caj air mentah kepada kerajaan negeri Pulau Pinang untuk mengabstrak air mentah dari Sungai Muda yang mengalir melalui Pulau Pinang.

“Selain itu,  beliau (Tuan Ibrahim) harus sedar bahawa rakyat dan perniagaan di Pulau Pinang membayar berbilion ringgit cukai kepada kerajaan Persekutuan setiap tahun. Malah, kerajaan negeri Pulau Pinang membentangkan bajet negeri tahun 2022 dengan unjuran defisit RM449.8 juta.

“Oleh itu, meminta Pulau Pinang membayar Kedah untuk mendapatkan air mentah adalah seperti memerah air daripada batu,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Jumaat lalu, Tuan Ibrahim dilaporkan berkata, Pulau Pinang mempunyai tanggungjawab moral membayar kepada Kedah berhubung sumber bekalan air yang diambil dari Sungai Muda.

Beliau berkata, Pulau Pinang mempunyai hak mengambil air dari Sungai Muda, namun aliran sungai berkenaan bermula di hutan di Ulu Muda, Kedah, perlu dipelihara dan dilindungi daripada pembalakan menyebabkan Kedah kehilangan sumber pendapatan yang berpotensi.

Mengulas mengenai perkara itu, Jaseni mencadangkan agar Tuan Ibrahim memanfaatkan hakikat bahawa Ulu Muda dan Sungai Muda menyediakan sumber air untuk negeri Kedah dan Perlis serta Pulau Pinang.

“Kedua-dua kawasan ini boleh dianggap sebagai ‘aset air’ Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).

“Sekiranya menteri berkenaan benar-benar yakin bahawa Kedah perlu diberi pampasan untuk memulihara Ulu Muda, beliau harus memberi tumpuan kepada pampasan Persekutuan untuk Kedah.

“Bagi Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan PBAPP, kami menyokong penuh pemberian dana Kerajaan Persekutuan kepada Kedah untuk kemampanan dan pemuliharaan jangka panjang Ulu Muda dan Sungai Muda,” jelasnya. – MalaysiaGazette