Seorang lelaki maut manakala rakan parah terkena bom ikan di Hutan Lipur Lata Kekabu di Lenggong, Perak.

IPOH  – Seorang lelaki maut manakala rakannya parah selepas terkena bom ikan di kawasan Hutan Lipur Laga Kekabu di Lenggong petang tadi.

Mangsa maut dikenali sebagai Amirudin Khairudin, 44, manakala rakannya, Azlan Ali, 40 tahun dikejarkan ke Hospital Taiping untuk rawatan lanjut.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 3.12 petang sebelum pegawai penyiasat bergegas ke lokasi kejadian.

“Hasil siasatan mendapati kedua-dua lelaki itu terkena bahan letupan buat sendiri yang dipercayai digunakan untuk mengebom ikan.

“Mangsa maut dihantar ke Hospital Gerik untuk proses bedah siasat manakala mangsa parah masih menerima rawatan di Hospital Taiping,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Mangsa maut dihantar ke Hospital Gerik untuk proses bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

Sehubungan itu, Mohd Yusri menasihatkan orang ramai agar tidak menjalankan sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang seperti penggunaan bahan letupan bagi tujuan menangkap ikan.

“Selain itu, orang ramai juga diingatkan agar tidak menyalahgunakan kawasan rekreasi sebagai lokasi bagi aktiviti menangkap ikan,” katanya. – MalaysiaGazette