Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berucap pada Majlis Simposium Perubahan Iklim 2022 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA'IM, 05 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Malaysia memerlukan RM392 bilion bagi menyelesaikan sepenuhnya masalah banjir di negara ini.

JMenteri Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, jumlah itu merupakan langkah penyelesaian jangka panjang kerajaan selama 78 tahun.

“Anggaran kos ini antara lain merangkumi komponen utama tebatan banjir dan saliran bandar sebanyak RM230.71 bilion serta infrastruktur pantai sebanyak RM126.55 bilion,” katanya dalam ucapan sempena Simposium Perubahan Iklim anjuran Pejabat Ketua Pembangkang di Dewan Banquet Parlimen hari ini.

Hadir sama adalah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun.

Jelas Tuan Ibrahim, ia termasuk peruntukan RM15 bilion secara off budget untuk tempoh lapan tahun bermula tahun 2023 hingga 2030.

Ia bagi projek-projek tebatan dan penyelesaian banjir serta pembinaan struktur sabo di kawasan kritikal yang terjejas teruk akibat Monsun Timur Laut.

Tuan Ibrahim juga berkata, kerajaan percaya keberkesanan pelaksanaan inisiatif bagi menangani cabaran perubahan iklim perlu didukung selari dengan penggubalan akta yang komprehensif.

Justeru, KASA telah membangunkan kerangka undang- undang perubahan iklim pada tahun 2021 dan dibentangkan kepada Mesyuarat Jemaah Menteri.

“Lanjutan itu, kini KASA sedang menggubal Rang Undang-Undang Perubahan Iklim di bawah tempoh Rancangan Malaysia Ke-12. Objektif rang undang-undang ini adalah untuk mengukuh institusi, menyelaras tindakan, memantau perkembangan dan memperkemas pelaporan data secara sistematik,” katanya lagi.

Sehubungan itu, KASA selaku kementerian peneraju agenda perubahan iklim negara telah mengambil langkah untuk membangunkan dasar dan inisiatif berkaitan pasaran karbon dengan Kementerian Kewangan dan Bursa Malaysia. 

“Pada Disember 2021, Jemaah Menteri bersetuju dengan garis panduan pasaran karbon sukarela antarabangsa sebagai asas panduan kepada entiti dalam negara yang ingin terlibat di dalam pasaran karbon sukarela.

“Jemaah Menteri juga telah memberikan mandat kepada Bursa Malaysia bagi membangunkan platform perdagangan karbon peringkat domestik,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast